Pelajar 9A berhenti dari UTP kerana masalah kewangan - Utusan Malaysia

Pelajar 9A berhenti dari UTP kerana masalah kewangan

MOHAMMAD Aiman Afiq Mohd. Basri menunjukkan surat tawaran yang diterimanya untuk menyambung pengajian ke UniKL ketika ditemui di Nibong Tebal, Pulau Pinang. – UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: “Saya bekerja bukan hanya untuk tampung kehidupan keluarga, tetapi untuk bayar hutang kawan-kawan yang pernah tolong saya sebelum ini terutamanya semasa saya di asasi. Saya mahu selesaikan hutang-hutang saya dengan mereka secepat yang boleh.”

Itu luahan Mohammad Aiman Afiq Mohd. Basri, 19, yang kisahnya tular di media sosial sejak beberapa hari lalu kerana berhenti belajar dan bekerja di sebuah kilang elektronik di Bukit Minyak dekat sini.

Mohammad Aiman Afiq ber­kata, gaji sebanyak RM2,000 dimanfaatkan dengan sebaiknya, walaupun hanya sempat bekerja di kilang itu selama dua bulan sahaja.

Katanya, dia memilih untuk bekerja kerana bercadang me­ngumpul duit terlebih dahulu sebelum membuat permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) semula pada tahun depan.

“Saya berhenti UTP (Universiti Teknologi Petronas) sebelum ini kerana masalah kewa­ngan. Jadi, saya kerja dahulu untuk kumpul duit. Tak sangka pula rezeki untuk saya datang lebih awal, alhamdulillah,” katanya.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian itu kini ditawarkan pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dengan kos pengajian ditanggung sepenuhnya Majlis Ama­nah Rakyat (Mara).

Anak sulung daripada dua beradik itu ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, dia terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti hanya kira-kira empat bulan mengikuti kursus peringkat ijazah di UTP kerana permohonan untuk mendapatkan biasiswa ditolak pada saat akhir.

Mohammad Aiman Afiq ber­kata, agak lama dia menunggu untuk mendapatkan maklum balas berhubung keputusan permohonan biasiswa, sebelum membuat keputusan drastik tidak lagi menyambung pengajian di situ.

“Sebenarnya, wang tersebut (biasiswa) bukan sahaja akan saya gunakan untuk membayar yuran pengajian tetapi untuk perbelanjaan harian saya juga. Jadi, saya pilih tarik diri. Mungkin bukan rezeki saya di situ.

“Saya juga ada terbaca me­ngenai kisah rakan saya semasa di MRSM, Putera (Putera Iman Shah Shahiran) yang dapat ma­suk UUM (Universiti Utara Malaysia). Saya tumpang gembira. Apabila tiba-tiba dihubungi oleh Cikgu Sham (Timbalan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail) yang memberitahu akan membantu saya untuk sambung belajar, saya bersyukur walaupun agak berat hati pada mulanya kerana ada perancangan sendiri,” katanya.

Kisah Mohammad Aiman Afiq pernah tular di media sosial tujuh tahun lalu apabila tidak ditawarkan tempat di sekolah berasrama penuh (SBP) atau MRSM, walaupun cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 6A.

Dia kemudian ditawarkan ke MRSM Transkrian dan berjaya memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menyambung pengajiannya ke UTP.

Bapa Mohammad Aiman Afiq, Mohd. Basri Abdul Manas, 51, tidak bekerja kerana mengalami kemurungan kritikal manakala ibunya, Rashidah Ali, 51, mengambil upah membungkus nasi lemak dengan gaji RM20 sehari.

Dalam pada itu, Mohd. Norhiesam berkata, beliau telah berbincang dengan Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengenai keperluan Mohammad Aiman Afiq di UniKL nanti.

“Dr. Asyraf maklumkan kepada saya bahawa bantuan pengajian Aiman akan ditanggung sepenuhnya oleh Mara manakala pihak zakat dan YPM (Yayasan Pelajaran Mara) pula masing-masing akan menyalurkan bantuan bulanan serta komputer riba untuk Aiman.

“Pada masa yang sama, Dr. Zambry juga cuba bantu dengan menghubungi UTP untuk membuat pengecualian bayaran yuran yang mencecah hampir RM10,000 sebelum ini kerana Aiman hanya di situ selama empat bulan dan tidak sempat menghabiskan walaupun satu semester,” katanya.

Mohammad Aiman Afiq dijangka melapor diri di UniKL pada Ahad ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN