SEREMBAN: Peguam yang mewakili tukang masak yang didakwa membunuh dengan menikam seorang duda di Taman Seri Pagi, Senawang di sini pada Ogos lalu memohon anak guamnya menjalani penilaian psikiatri.
Ahmad Lokman membuat permohonan itu pada prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut Ahmad, pihak pembelaan melihat ada keperluan untuk menilai mental tertuduh, Zulazren Zakariah, 31, di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah atas beberapa alasan termasuk tekanan emosi yang dialaminya.
“Tertuduh mengetahui isterinya yang sudah bersama hampir sepuluh tahun dan mempunyai dua anak telah curang pada hari kejadian.
“Ketika ditahan tertuduh bukan di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan tiada rekod jenayah lampau, tertuduh melakukan dua kerja untuk menangggung keluarga dan emosinya terganggu akibat tekanan kerja sebelum kejadian,” katanya.
Ahmad memberitahu, penilaian psikiatri itu penting bagi memastikan sama ada tertuduh bersedia (waras) untuk menjalani perbicaraan selepas dipersoal mahkamah tentang kerelevenan dihantar menjalani ujian mental.
Nurul Saqinah berkata, permohonan pihak pembelaan itu perlu dirujuk kepada Hakim Mahkamah Tinggi
“Seksyen 302 Kanun Keseksaan perbicaraannya di bawah bidang kuasa Mahkamah tinggi, mahkamah percaya permohonan itu perlu dimohon di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi menaklumkan bahawa laporan perubatan, bedah siasat, kimia dan asid deoksiribonukleik (DNA) masih belum diterima.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 November depan untuk penyerahan dokumen.
Sebelum ini media melaporkan, seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dengan menikam seorang duda di Taman Seri Pagi, Senawang di sini, Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mencapai niat dengan menikam dada dan menyebabkan kematian Muhammad Amirul Rashid Mohd. Niza berusia 28 tahun.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 6.50 petang di sebuah rumah di Taman Sri Pagi, Senawang di sini pada 11 Ogos lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.









