KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan bahagian risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM34,500, tiga bulan lalu.
Lelaki berusia 53 tahun itu yang juga Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf di Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Terdahulu, mahkamah mengarahkan agar identiti tertuduh tidak didedahkan oleh pengamal media selepas membenarkan permohonan peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent atas alasan tertuduh terlibat operasi ketenteraan yang melibatkan unit risikan pertahanan.
“Saya memohon agar identiti tertuduh tidak didedahkan kepada umum memandangkan beliau bertugas dalam unit risikan yang terlibat dengan operasi sensitif,” kata peguam itu ketika mengemukakan permohonan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tersebut daripada dua individu di sebuah kondominium di Chan Sow Lin, dekat sini pada Julai lalu.
Tertuduh didakwa menerima wang berkenaan sebagai ganjaran untuk tidak melaporkan aktiviti penyeludupan di daerah Kota Tinggi, Johor, yang sepatutnya dilaporkan mengikut bidang tugas rasminya.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.
Geethan Ram bagaimanapun memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM6,000 dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan tidak pernah gagal melapor diri kepada SPRM.
“Saya mohon agar pasport tertuduh tidak ditahan kerana beliau masih perlu menjalankan tugas rasmi ke luar negara,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan.
Mahkamah turut membenarkan pasport tertuduh dikekalkan dalam simpanannya namun perlu membuat laporan bertulis kepada mahkamah setiap kali menjalankan tugas rasmi ke luar negara.
Mahkamah menetapkan 2 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Pada 14 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan seramai 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM ditahan reman SPRM kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Turut ditahan dua wartawan agensi media dalam talian, seorang pengurus syarikat, pembantu pentadbiran di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta seorang wanita warga asing.
Sumber berkata, hasil risikan selama 12 bulan mendapati, sindiket itu dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai kanan tentera setiap kali aktiviti penyeludupan dijalankan.
SPRM turut menemukan wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata api tiruan dalam serbuan berkaitan.-UTUSAN










