KUALA LUMPUR: Siasatan pihak polis terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low masih diteruskan dan belum ditutup.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, perkembangan terkini berkaitan kes berkenaan sentiasa diteliti dan polis akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut keperluan siasatan.
“Isu ini tidak perlu dibincangkan secara terbuka kerana tindakan masih lagi seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini. Siasatan masih dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Jho Low masih menjadi individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebelum ini media antarabangsa melaporkan Jho Low disyaki menetap di Shanghai, China dengan identiti palsu menggunakan pasport Australia atas nama Constantinos Achilles Veis.
Laporan itu turut mendakwa Jho Low tinggal di kawasan elit Green Hills memandu kereta mewah serta beroperasi dari pejabatnya di Pusat Kewangan Shanghai.
Pendedahan sama menyebut Malaysia masih giat menuntut proses ekstradisinya walaupun Jho Low dipercayai bergerak bebas di bandar itu.
Lebih kontroversi, laporan berkenaan mendakwa Jho Low kini berperanan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China.-UTUSAN









