PBSM, Nestlé edar 5,500 pek makanan hadapi musim monsun

PBSM, Nestlé edar 5,500 pek makanan hadapi musim monsun

JUAN Aranols (enam, kiri); Tunku Puteri Intan Safinaz (tujuh, kiri) dan Aminurrahim Mohamed (lima, kiri) di majlis penyampaian sumbangan pek makanan dii Ibu pejabat PBSM, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia dan syarikat Nestle mengedarkan 5,500 pek makanan sebagai persiapan menghadapi musim monsun di seluruh negara.

Inisiatif itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan bencana melalui penyelarasan yang lebih mantap antara agensi kerajaan, rakan korporat dan sukarelawan, agar bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan kepada komuniti berisiko.

Pengerusi Kebangsaan PBSM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan ABdul Halim Mu’adzam bertitah, persediaan dan kerjasama amat penting ketika menghadapi krisis dan tiada satu organisasi pun mampu menangani bencana secara bersendirian.

“Ia memerlukan usaha bersama dan tanggungjawab bersama. Kerjasama antara sektor awam, swasta dan sukarelawan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan pada masa yang tepat,” titah baginda di majlis penyampaian sumbangan pek makanan oleh Nestle kepada PBSM untuk persediaan menghadapi musim monsun di Ibu pejabat PBSM di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols; Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Aminurrahim Mohamed dan Setiausaha Agung PBSM, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman.

Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah, sebagai sebahagian daripada pelan kesiapsiagaan monsun, PBSM telah menyediakan aset logistik, pasukan sukarelawan serta barangan bantuan penting seperti bekalan makanan, kit kebersihan, selimut dan peralatan kecemasan.

“Bantuan ini akan digerakkan bagi menyokong negeri-negeri yang berisiko tinggi dilanda banjir termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak,” titah baginda.

Sementara itu, Danial Iskandar berkata, tumpuan PBSM menjelang musim monsun adalah memastikan logistik, sukarelawan dan sistem tindak balas berada dalam keadaan siap untuk digerakkan segera.

“Melalui kerjasama rapat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan serta rakan korporat dan komuniti, kami berusaha memperkukuh keupayaan untuk menyampaikan bantuan dengan lebih cepat dan berkesan kepada mereka yang terkesan.

“Selama lebih tujuh dekad, PBSM kekal di barisan hadapan dalam usaha bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana, bekerjasama erat dengan NADMA, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai rakan strategik dalam melindungi serta membantu komuniti yang terjejas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN