Pastikan pelancong menikmati pengalaman bermakna

Pastikan pelancong menikmati pengalaman bermakna

PENGUSAHA Homestay Warisan Bonda di Port Dickson, Zainal Yahman (kanan) menyiapkan hiasan inap desa di di Port Dickson, Negeri Sembilan. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pengusaha inap desa di Negeri Sembilan giat memperkemaskan persiapan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 bagi memastikan pelancong menikmati pengalaman bermakna.

Pengerusi Persatuan Kampung Stay dan Homestay Negeri Sembilan, Mistam Taib, 65, berkata, usaha itu melibatkan pelbagai aspek termasuk peningkatan kualiti perkhidmatan, penambahbaikan kemudahan asas serta penyediaan pakej pengalaman berasaskan komuniti.

Katanya, pengusaha inap desa di negeri ini turut diberi pendedahan melalui latihan hospitaliti, kursus bahasa serta penggunaan teknologi digital bagi memudahkan sistem tempahan dan promosi.

”Bagi memastikan keselesaan tetamu, penyelanggaraan fasiliti, kebersihan dan penyediaan kemudahan asas turut diberikan perhatian rapi. Kami mahu pelancong bukan sahaja menikmati suasana kampung, tetapi juga berasa selesa seperti berada di rumah sendiri.

”Pelbagai pakej pengalaman tempatan sedang dirangka seperti demonstrasi seni, makanan tradisi, serta aktiviti ekopelancongan bagi memberi nilai tambah kepada pelancong,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mistam berkata, pengusaha inap desa di negeri ini turut merancang menyediakan pelbagai aktiviti bagi memberikan nilai tambah kepada pelancong.

”Pelancong kini mencari pengalaman autentik. Jadi, kami mahu mereka merasai sendiri kehidupan dan budaya masyarakat tempatan, bukan sekadar menginap semalam dua,” katanya.

Menurutnya, pengusaha turut bekerjasama dengan kementerian terlibat dan agensi pelancongan bagi melakukan promosi.

”Kami yakin dengan persediaan rapi ini, inap desa di seluruh negara mampu menjadi antara tarikan utama TMM 2026, seterusnya membantu menjana ekonomi komuniti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×