Pastikan hobi memberi manfaat – Jasper Supayah - Utusan Malaysia

Pastikan hobi memberi manfaat – Jasper Supayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kenapa pula wanita tidak boleh belajar seni memper­tahankan diri dan pergi ke gim?”

Demikian kata pelakon, Jasper Supayah yang menganggap seni mempertahankan diri serta bersenam di gim kini bukan lagi satu stereotaip dalam kalangan masyarakat.

Kata Jasper atau Jasper James Supayah, dalam kesibukannya mencipta nama sebagai anak seni, bersenam di gim dan mempelajari martial arts atau seni mempertahankan diri menjadi aktiviti pilihannya untuk dilakukan pada waktu lapang.

“Ketika ini saya suka bermain piano untuk tenangkan diri dengan muzik. Selebihnya, saya suka pergi ke gim dan menjaga stamina tubuh badan dengan mempelajari kemahiran seni mempertahankan diri.

“Aktiviti ini memecahkan limitasi saya sebagai seorang wanita. Kalau tidak mampu tandingi kemampuan kaum lelaki 100 peratus, sekurang-kurangnya kita boleh cuba 80 peratus,” katanya kepada Pancaindera.

Kata pelakon berusia 32 tahun itu, mempelajari seni mempertahankan diri dan pergi ke gim bukan sahaja membantu mengekalkan gaya hidup sihat malah, membuat dirinya semakin awet muda.

“Pada saya pergi ke gim dan belajar seni mempertahankan diri ini boleh seimbangkan gaya hidup saya secara sihat. Setiap kali melakukan aktiviti sebegini saya dapat rasakan aura yang lebih baik dan sihat.

“Dalam masa sama, ia membantu melepaskan hormon gembira dan dapat menghilangkan stres. Ada masa saya rasa dia buat saya lebih awet muda,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon berdarah kacukan Cina dan India itu tidak menafikan hobi yang dilakukan mempunyai cabarannya tersendiri namun, syukur ia turut memberi manfaat kepada kerjaya seninya.

“Kedua-dua aktiviti kegemaran saya ini mempunyai cabarannya tersendiri. Jika di gim, ia melibatkan berat. Jika seni mempertahankan diri pula, aktiviti ini banyak melibatkan aksi yang luar biasa.

“Tetapi secara tidak langsung dia membantu dalam kerjaya seni saya kerana jika perlu menjayakan filem aksi kita boleh bertindak di luar kotak.

“Walaupun hanya seni mempertahankan diri, pada saya aktiviti membuatkan saya mahu mengasah lagi kemahiran saya. Biarpun masih baru lagi, tetapi segalanya makin baik,” tambahnya.

Cakna bahawa malang tidak berbau, Jasper juga tidak terkecuali berdepan dengan kecederaan ringan sewaktu melakukan aktiviti kegemarannya.

“Apabila aktiviti yang melibatkan angkat berat, beban dan pergerakan yang ekstrem sudah semestinya kita tidak dapat lari dari berlakunya sebarang kemalangan.

“Tambah pula saya masih baru lagi menjinakkan diri untuk melakukan kedua-dua aktiviti ini. Saya pernah mengalami sakit belakang selama dua minggu kerana salah langkah ketika melakukan seni mempertahankan diri.

“Muka saya juga pernah bengkak kerana terkena kayu. Kemalangan itu mengambil masa selama seminggu untuk pulih,” ceritanya.

Tambah pelakon drama Jika Cinta Itu Buta tersebut, hobinya itu secara tidak langsung membuka peluang dirinya dibimbing oleh Pertubuhan Stunt Malaysia, Defenderz untuk menjadi pelakon aksi wanita.

“Saya berguru dengan Defenderz yang terlibat dalam filem Blood Brothers: Bara Naga. Ada beberapa guru yang selalu mengajar saya seperti Ubai Amir, Adha, Fauzan dan ramai lagi kerana mereka bekerja sebagai satu pasukan.

“Bila saya menyertai kelas latihan itu, mereka latih saya sebagai pelakon aksi bukan sebagai stunt woman,” katanya lagi.

Jasper juga sempat berpesan agar setiap individu mencari hobi yang mampu memberi manfaat pada diri sendiri di kemudian hari.

“Sibuk atau penat macam mana pun kehidupan, kita perlu curi masa kalau mahu menjayakan sesuatu yang kita suka. Pastikan hobi yang kita buat itu memberikan manfaat kepada diri kita di masa akan datang supaya tidak menyesal di kemudian hari,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN