PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membatalkan pasport antarabangsa milik Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, iaitu menantu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, pembatalan itu dibuat selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan telah dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang sedia ada.
“Saya difahamkan JIM bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan pasport dan hal itu telah pun dilaksanakan dan saya boleh sahkan (pembatalan pasport),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini bagi mengulas status pasport milik Muhammad Adlan yang kini dikehendaki SPRM bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.
Saifuddin berkata, biarpun kes itu berada di bawah bidang kuasa SPRM, namun pihaknya akan mendapatkan maklumat lengkap daripada semua agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk JIM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ditanya sama ada nama Muhammad Adlan telah dimasukkan dalam senarai Interpol, Saifuddin menjelaskan, perkara tersebut telah dibuat oleh badan siasatan tersebut.
Selain itu, pihakyna akan menyemak dakwaan sama ada Muhammad Adlan bergerak menggunakan pasport yang telah dibatalkan.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Adlan kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat susulan penyebaran gambar lelaki itu bersama kenamaan dari Asia Barat.
Sumber memaklumkan, Muhammad Adlan kerap dilaporkan keluar masuk negara berkenaan untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak. – UTUSAN










