Pas nafi tolak kemasukan Wan Ahmad Fayhsal sebagai ahli

Pas nafi tolak kemasukan Wan Ahmad Fayhsal sebagai ahli

TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan kononnya parti itu tidak bercadang menerima Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang kini digantung keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan kononnya parti itu tidak bercadang menerima Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang kini digantung keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tuan Ibrahim berkata, tangkap layar yang disunting pihak tidak bertanggungjawab itu adalah tidak benar dan menegaskan bahawa ia merupakan fitnah yang sengaja disebarkan bagi menimbulkan kekeliruan menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau turut menyeru semua ahli Pas serta penyokong Perikatan Nasional (PN) bertenang dan tidak cepat melatah terhadap sebarang maklumat tidak sahih yang disebarkan di media sosial.

“Suhu pilihan raya semakin panas. Nampak gayanya ada pihak yang semakin terdesak dengan membuat fitnah sebegini,” katanya menerusi hantaran di platform Facebook hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar mendakwa Pas tidak bercadang menerima Wan Ahmad Fayhsal menjadi ahli parti itu buat masa ini.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal selama satu penggal selepas didakwa melanggar Perlembagaan serta Tatakelakuan parti.

Pada 8 Oktober lalu, Wan Ahmad Fayhsal bersama enam lagi pemimpin Bersatu termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipanggil oleh Lembaga Disiplin Bersatu bagi memberi penjelasan berhubung beberapa dakwaan termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan keputusan tersebut, beberapa pihak mencadangkan bekas Ketua Armada Bersatu itu meninggalkan Bersatu dan menyertai Pas. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN