Pas gesa Singapura henti tuduhan, kaitkan dengan politik dalaman

Pas gesa Singapura henti tuduhan, kaitkan dengan politik dalaman

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas menolak sebarang campur tangan Singapura yang cuba mengaitkan parti itu dengan isu politik dalaman negara tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Singapura sebaliknya perlu menangani masalah domestik sendiri tanpa menjadikan pihak luar sebagai kambing hitam.

“Pas tidak akan membiarkan naratif palsu yang menggambarkan pandangan rentas sempadan sebagai ancaman keselamatan demi keuntungan politik jangka pendek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Sebelum ini, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam, memberi amaran kepada Pas supaya tidak mencampuri wacana politik republik itu. 

Beliau menegaskan bahawa Singapura tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk campur tangan asing dalam urusan domestiknya.

Shanmugam turut menyifatkan kenyataan terkini pemimpin Pas yang berkaitan dengan urusan dalaman Singapura sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan melanggar prinsip saling menghormati antara negara jiran.

Beliau menegaskan bahawa ruang politik Singapura mesti kekal bebas daripada sebarang cubaan luar untuk memasukkan naratif agama atau kaum.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, menuduh sesuatu pandangan rentas sempadan sebagai campur tangan asing  hanya akan menyempitkan ruang wacana awam dan menjejaskan kedudukan Singapura sebagai negara terbuka serta berdaya saing.

“Jika jaringan hubungan digital dilihat sebagai saluran campur tangan, maka jawapan logiknya ialah memutuskan hubungan dengan dunia. Ia sudah tentu sesuatu yang mustahil bagi ekonomi terbuka seperti Singapura,” katanya.

Takiyuddin turut  menyifatkan tindakan menyalahkan pihak luar sebagai taktik politik lama untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu sebenar dalam negara.

“Ia jalan pintas politik yang menukar usaha penyelesaian jangka panjang kepada kesatuan sementara menentang musuh yang direka,” katanya.

Takiyuddin dalam masa yang sama berkata, parti itu sentiasa menghormati prinsip kedaulatan negara lain dan tidak pernah mencampuri urusan pilihan raya mana-mana negara jiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN