KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berhasrat untuk menubuhkan Suruhanjaya Sempadan memandangkan kerjasama sedia ada dengan negara jiran merangkumi aspek sempadan secara menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mekanisme sedia ada sudah mencukupi bagi menangani isu-isu berkaitan sempadan termasuk keselamatan, sumber ekonomi dan aktiviti maritim.
“Gangguan terhadap Petronas itu ada, tetapi tidak sampai ke tahap yang memerlukan kita menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kerana secara umumnya hubungan Malaysia–Indonesia sangat baik.
“Petronas hanya menjalankan kerja cari gali di kawasan yang sah milik kita dan tidak menceroboh kawasan lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibharim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai keperluan bagi menubuhkan Suruhanjaya Sempadan susulan kapal Petronas yang dikepung nelayan Indonesia sebelum ini. – UTUSAN











