KUALA LUMPUR: Parlimen memperuntukkan satu hari khas bagi sesi penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) berhubung penyata-penyata yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Dewan Rakyat mencatat sejarah dalam memperkukuh akauntabiliti badan eksekutif kepada Parlimen apabila sesi penerangan itu dijalankan bagi memberikan pendedahan kepada rakyat mengenai fungsi serta peranan JKPK dalam membincangkan isu-isu semasa.
Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja memperkukuh fungsi semak dan imbang Parlimen, malah memberi pendedahan lebih luas kepada rakyat mengenai peranan JKPK dalam membincangkan pelbagai isu semasa yang melibatkan kepentingan awam.
“Langkah ini mencatat sejarah dalam usaha mempertingkat akauntabiliti badan eksekutif kepada Parlimen.
“Ia juga bertujuan memberikan pendedahan dan liputan lebih luas kepada rakyat mengenai fungsi serta peranan Jawatankuasa Pilihan dalam membincangkan isu-isu semasa,” katanya ketika pemasyhuran Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Johari, pelaksanaan sesi penerangan berkenaan akan dilaksanakan bergantung kepada pertimbangan Pengerusi JKPK dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan kepentingan sesuatu isu.
Namun katanya, beliau telah memberikan kebenaran kepada semua Pengerusi JKPK untuk mengadakan sesi penerangan di Dewan Rakyat apabila difikirkan perlu.
“Langkah ini mencerminkan komitmen Parlimen dalam meningkatkan ketelusan dan memastikan rakyat lebih memahami peranan serta tanggungjawab Jawatankuasa Pilihan dalam memperkukuh sistem demokrasi negara,” katanya.-UTUSAN