PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri yang gagal mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen kelmarin, berpeluang diluluskan jika dibentangkan semula pada sesi akan datang.
Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, terdapat dua kaedah yang boleh dilaksanakan bagi membolehkan RUU itu dibentangkan semula.
Katanya, kaedah pertama adalah mana-mana ahli Parlimen perlu memfailkan usul supaya Dewan Rakyat membuat ketetapan untuk mendengar semula RUU tersebut.
“RUU ini masih boleh dibentang semula namun bukan pada sesi sama RUU itu ditolak. Usul berkenaan perlu dibahaskan dan diundi oleh semua ahli Parlimen. Sekiranya diluluskan, RUU berkenaan boleh dibahas dan diundi buat kali kedua.
“Mana-mana ahli Parlimen boleh memfailkan usul kepada Dewan Rayat untuk mendengar semula RUU tersebut. Lazimnya, usul berkenaan akan difailkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
“Sekiranya RUU tersebut masih gagal memperoleh majoriti dua pertiga selepas usul itu diluluskan, ia tidak boleh dibawa dalam sesi sama, tetapi boleh dibentangkan semula pada sesi Parlimen berikutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, RUU bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri gagal untuk diluluskan selepas tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen atau sekurang-kurangnya 148 wakil rakyat.
Menerusi undi belah bahagian, hanya 146 ahli Parlimen menyokong, sementara 32 lagi tidak hadir manakala 44 berkecuali.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, kaedah kedua pula adalah membentangkan semula RUU itu sebagai RUU baharu iaitu melaksanakannya semula dengan bacaan kali pertama, kedua dan ketiga mengikut prosedur yang ditetapkan.
Mengulas ketidakhadiran ahli Parlimen ketika sesi pengundian, Azhar berkata, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat, sebaliknya tertakluk kepada disiplin parti masing-masing.
Beliau mengambil contoh Sistem Parlimen Westminster di mana Ketua Whip akan mengeluarkan notis kepada setiap ahli Parlimen bagi memastikan kehadiran mereka sebelum sesuatu undang-undang diundi.
“Antaranya, notis meminta mereka hadir jika boleh. Selain itu mewajibkan kehadiran dan pengundian. Seterusnya mengkehendaki ahli Parlimen hadir dan mengundi menyokong dan kegagalan mematuhinya boleh dikenakan tindakan disiplin,” katanya.
Sementara itu, Peguam Kanan, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, perkara itu bukan pertama berlaku kerana RUU meminda peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pernah gagal tetapi diluluskan selepas rundingan diadakan antara kerajaan dan pembangkang.
Beliau berpandangan, tiada ahli Parlimen pembangkang yang menolak RUU had tempoh Perdana Menteri, namun mereka meminta kajian lanjut khususnya mengenai keperluan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. – UTUSAN










