KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan tiga cadangan dalam menangani isu buli di sekolah.
Antara cadangan tersebut adalah meluluskan dana khas bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah seluruh negara.
Katanya, alasan kekangan kewangan tidak seharusnya dijadikan penghalang dalam isu melibatkan keselamatan pelajar.
“Saya pergi shopping sekejap je, DIY. CCTV RM50 satu unit. Kalau nak canggih sedikit, gunakan tenaga solar, RM200. Kalau satu sekolah pasang 20 unit pun, tidak banyak kerana di Malaysia kita ada 10,000 sekolah. Kosnya tidak begitu tinggi.
“Tetapi kalau tinggi pun, jika ia dapat memastikan satu nyawa pun diselamatkan, itu adalah kos yang patut kita tangani dan yang bangganya kita tangani,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Cadangan kedua pula adalah menyentuh keperluan untuk memperbaiki sistem sokongan dan kebertanggungjawaban dalam kes buli, termasuk mengambil tindakan terhadap pihak sekolah yang gagal bertindak.
“Kalau di negara maju ada kes buli yang berlaku, tindakan tidak hanya diambil ke atas orang pembuli. Warden akan diambil tindakan, pengetua akan diambil tindakan, senarai hitam akan dikeluarkan, penguatkuasa yang lambat bertindak turut akan diambil tindakan.
“Saya pernah bangkitkan ini pada ucapan-ucapan saya lepas, tetapi setiap kali saya bangkitkan, kerajaan akan jawab, kita akan lakukan, jangan takut. Dari atas ke bawah akan diambil tindakan,” katanya.
Syed Saddiq mendakwa walaupun kerajaan sering memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil, namun sehingga kini tiada bukti nyata menunjukkan pegawai atau pentadbir sekolah dikenakan tindakan dalam kes-kes buli serius.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap naratif yang sering diberikan apabila kes buli, rogol atau pembunuhan berlaku di sekolah.
“Bila ada kes bunuh, kes rogol, mesti bicarakan soal ‘nama baik sekolah’. Who cares? (siapa kisah?) Kalau dah ada orang kena rogol, kena bunuh, nama sekolah itu tak penting. Yang penting keselamatan dan nyawa anak-anak kita,” katanya.
Cadangan ketiga beliau adalah agar kerajaan perlu bersikap tegas dan konsisten dalam dasar ‘zero tolerance’ terhadap buli dengan menghantar mesej jelas kepada semua pihak bahawa tiada sebarang tolak ansur dalam sebarang bentuk buli.
“Kerajaan perlu cepat siasat, heret dan dakwa. Menteri dan kementerian perlu keluarkan kenyataan yang sangat tegas. Hantar isyarat jelas bahawa buli sekecil mana pun tidak akan ditoleransi,” tegasnya. – UTUSAN









