KDN pertimbang tindakan terhadap pemilik premis digunakan pusat penipuan

PARLIMEN: KDN pertimbang tindakan terhadap pemilik premis digunakan pusat penipuan

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan tindakan ke atas pemilik hartanah yang membenarkan premis mereka digunakan sebagai pusat panggilan penipuan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah bagaimanapun berkata, pihaknya mengakui terdapat kelemahan dalam memerangi jenayah siber yang semakin canggih berikutan kemajuan teknologi yang pesat.

“Salah satu isu kritikal adalah ketidakserasian undang-undang dengan realiti jenayah siber.

“Undang-undang sedia ada dilihat terlalu ringan atau ketinggalan zaman terutama apabila berdepan dengan taktik penipuan yang semakin sofistikated,” katanya bagi menjawab soalan
tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung cadangan tindakan terhadap pemilik premis yang membenarkan digunakan sebagai pusat panggilan penipuan.

Shamsul Annuar menambah ketiadaan undang-undang menyeluruh untuk menangani jenayah siber rentas sempadan menyebabkan banyak kes gagal didakwa atau ditangani secara berkesan.

Beliau turut menyatakan kekurangan kepakaran dalam kalangan agensi penguatkuasaan juga menyumbang kepada kesukaran berhadapan dengan teknologi terkini yang digunakan penjenayah siber.

Sebagai tindak balas terhadap ancaman yang meningkat, Shamsul berkata beberapa undang-undang seperti Kanun Keseksaan dan Akta Tatacara Jenayah telah dipinda untuk membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang akaunnya digunakan oleh penjenayah siber.

Selain itu, beliau juga memaklumkan Pusat Respons Penipuan Nasional (NSRC) telah diletakkan di bawah kawalan polis mulai Jun lalu.

Terdahulu, Shamsul Annuar berkata, kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan negara luar telah berjaya melumpuhkan beberapa pusat panggilan penipuan antarabangsa dalam tempoh tiga tahun sebelum ini

Katanya, usaha tersebut antara langkah yang diambil untuk membanteras sindiket penipuan antarabangsa yang beroperasi di dalam dan luar negara.

“Pada tahun 2022, polis di sini telah bekerjasama dengan polis dari Singapura, Australia dan Taiwan sebanyak lima kali yang membawa kepada penangkapan lebih 30 individu yang terlibat dalam penipuan cinta dan pekerjaan.

“Pada tahun 2023, terdapat tiga kejadian di mana polis tempatan bekerjasama dengan polis dari Taiwan dan Singapura dalam kes yang sama dan sebanyak 21 tangkapan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) di Dewan Rakyat yang ingin mengetahui sama ada wujud kelemahan dalam penguatkuasaan sehingga menyebabkan Malaysia dilihat sebagai destinasi pilihan penipu antarabangsa berikutan kes terbaru yang melibatkan lebih 400 individu ditahan di Bangsar South sebelum ini.

Shamsul Anuar berkata, pada tahun lepas sebanyak 10 individu telah ditangkap berkaitan penipuan pelaburan hasil kerjasama antara polis tempatan dengan agensi penguatkuasaan di Taiwan dan Singapura.

“Terkini, operasi bersama antara polis di sini dengan Singapura, China dan Indonesia dilakukan sebanyak empat kali dan berjaya menahan 45 individu.

“Ini menunjukkan bahawa kita mengambil tindakan tegas terhadap sindiket ini, tidak hanya di dalam negara malah juga di luar negara,” tambah beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN