KUALA LUMPUR: Jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini dibuat atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk menjemput rakan dialog ASEAN dan berdasarkan prinsip ASEAN iaitu berkecuali dan berpusatkan ASEAN.
“Ini bukan jemputan dua hala biasa, tetapi dalam kapasiti Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
“Insya-Allah, kami juga akan mengambil peluang ini untuk menyuarakan kebimbangan kami.
“Yang paling penting, kami mahu kerjasama antara Malaysia, ASEAN dan AS untuk menubuhkan Palestin yang merdeka, memastikan ia bebas daripada ancaman pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan, serta membina semula Gaza,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Syed Ibrahim Syed Noh (Pakatan-Ledang) yang bertanya mengenai respons Kementerian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan berhubung jemputan Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN yang akan diadakan akhir bulan ini.
ketika ditanya berkenaan 20 perkara dalam Pelan Damai yang diumumkan Trump baru-baru ini berkata, perkara itu mampu membawa perubahan kepada pengakhiran pengeboman, serangan dan kemusnahan di Gaza.
“Pelan ini juga akan memberikan peluang kepada komuniti global untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, berbeza dengan sebelum ini,” katanya.-UTUSAN










