KUALA LUMPUR: Tiada sebarang pemakluman daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai ahli parti tersebut.
Perkara itu disahkan pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, sebentar tadi.
“Kita belum menerima sebarang pemakluman,” kata Setiausaha Akhbar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Shaira Amira Jamal kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Bersatu telah memecat keahlian Wan Saiful susulan pelanggaran Perlembagaan dan kod etika parti.
Dalam tindakan berasingan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Menurut kenyataan rasmi Lembaga Disiplin Bersatu pagi ini, keputusan itu dibuat selepas menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap beberapa individu yang didakwa melanggar peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli.-UTUSAN










