PARLIMEN: Belanjawan 2026 hanya helah angka, bukan berjiwa rakyat - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Belanjawan 2026 hanya helah angka, bukan berjiwa rakyat

parlimen
AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan keikhlasan kerajaan dalam Belanjawan 2026 apabila pertumbuhan hasil negara disifatkan tidak seiring dengan peningkatan perbelanjaan, termasuk pengurangan ketara dalam belanja pembangunan.

Menurutnya, berdasarkan angka yang dibentangkan, hasil kerajaan hanya meningkat sekitar satu peratus daripada RM340 bilion pada 2025 kepada RM343.1 bilion bagi 2026, manakala perbelanjaan melonjak hampir empat peratus daripada RM452 bilion kepada RM470 bilion.

“Ini membuktikan pertumbuhan hasil negara jauh ketinggalan berbanding kadar perbelanjaan kerajaan.

“Apa yang lebih membimbangkan, walaupun kerajaan mendakwa berjaya menjimatkan subsidi melalui penyasaran, wang itu sekadar dialihkan kepada bentuk bantuan lain seperti tunai dan skim pelaburan GLIC,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Penerangan Pas itu turut membangkitkan keprihatinan berhubung penguncupan peruntukan pembangunan, yang menurun daripada RM90 bilion pada 2025 kepada RM81 bilion pada 2026, satu penurunan hampir 10 peratus.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai pengurangan suntikan langsung kepada ekonomi sebenar, termasuk sektor pekerjaan dan pembangunan infrastruktur luar bandar yang amat diperlukan rakyat.

Mengulas perancangan kerajaan untuk menggunakan RM30 bilion dana GLIC bagi pelaburan domestik, beliau menegaskan langkah itu berisiko memberi kesan kepada dividen dan keuntungan syarikat berkaitan kerajaan.

“Dana seperti Gear Up, Dana Pemacu KWAP dan GTFS semuanya bersumberkan GLIC. Ini menyebabkan pengembangan ekonomi hanya berlegar dalam kalangan elit korporat, bukan rakyat biasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar saluran dana GLIC diaudit sepenuhnya bagi menilai keberkesanan dan mengelakkan salah guna.

Beliau turut mempersoalkan unjuran defisit fiskal 2026 sebanyak 3.5 peratus, yang disifatkan sekadar ‘kosmetik’, kerana hakikatnya defisit nominal meningkat daripada RM86.2 bilion (2024) kepada RM126.9 bilion (2026).

“Kerajaan hanya beri gambaran seolah-olah berjaya mengurangkan defisit, tetapi sebenarnya hutang makin bertambah,” katanya.

Ahmad Fadhli juga membangkitkan kebimbangan terhadap hutang baharu kerajaan yang kini melebihi unjuran.

“Pada Belanjawan 2025, kerajaan unjurkan hutang baharu sebanyak RM80 bilion, tetapi setakat Oktober 2025, jumlah pinjaman telah pun mencecah RM85 bilion.

“Kerajaan juga gagal menyatakan unjuran hutang baharu bagi 2026, sambil mempersoalkan sama ada kerajaan masih berpegang pada sasaran untuk bebas hutang sepenuhnya menjelang 2053,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN