KUALA LUMPUR: Seramai 1,966 majikan telah menaikkan gaji 20,737 pekerja mengikut garis panduan Dasar Gaji Progresif (DGP).
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, setakat semalam, seramai 2,852 majikan sudah memohon untuk menyertai DGP.
Katanya, sebanyak 79.5 peratus daripada majikan yang berdaftar dan melaksanakan kenaikan gaji berasal daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) membabitkan 47.1 peratus jumlah pekerja.
“Majikan yang layak untuk menyertai DGP dan menaikkan gaji pekerja berdasarkan panduan gaji yang ditetapkan akan menerima insentif tunai sehingga RM300 sebulan daripada Kerajaan sehingga 2027.
“Bagaimanapun, pelanjutan DGP atau jumlah insentif yang diberikan akan ditentukan oleh Kerajaan berdasarkan kedudukan fiskal negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Hanifah berkata, DGP diperkenalkan bagi mereformasi pasaran buruh, dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.
“Pelaksanaan DGP juga membantu meningkatkan kadar gaji dan upah penengah pekerja termasuk pemampatan gaji kepada kumpulan tertentu dalam kalangan pekerja,” katanya.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi menyokong pelaksanaan penuh DGP pada tahun ini, dengan sasaran penyertaan seramai 50,000 pekerja. – UTUSAN









