PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.
Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2025 berlangsung di Istana Negara hari ini bersempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-92.
Mohd Nizam mendahului senarai 100 penerima pingat pada sesi pertama sebagai penghargaan kepada pegawai serta anggota lain-lain pangkat (LLP) ATM yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan tidak berbelah bahagi.
Seri Paduka turut mengurniakan darjah PGAT kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta panglima-panglima perkhidmatan dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim yang juga Pemerintah Tertinggi ATM berkenan mengurniakan PGAT Kehormat kepada empat pemerintah tertinggi tentera negara luar.
Mereka adalah Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI), Jenderal TNI Agus Subiyanto; Panglima Tentera Darat Diraja Kemboja, Jeneral Mao Sophan; Ketua Staf Tentera Udara Indonesia, Air Chief Marshal Mohamad Tonny Harjono dan Panglima Tentera Udara Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Mejar Jeneral Kelvin Fan Sui Siong.
Baginda turut berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 20 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 18 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) (28 penerima) dan darjah Bentara Angkatan Tentera (BAT) (28 penerima).
Penganugerahan Pingat DKAT berlangsung dalam dua sesi pengurniaan dengan sesi kedua dijadual diadakan di Wisma Perwira ATM pada 30 Oktober ini dijangka disempurnakan oleh Mohamed Khaled, melibatkan 526 penerima, menjadikan jumlah keseluruhan penerima seramai 626 orang. – UTUSAN









