Pacu kemajuan berpaksikan nilai Islam - Tun Ali

Pacu kemajuan berpaksikan nilai Islam – Tun Ali

MOHD. Ali Mohd. Rustam (empat dari kiri) dan Ketua Majelis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia, Ahmad Muzani (empat dari kanan) bergambar bersama wakil negara anggota DMDI pada Majlis Konvensyen DMDI Ke-23 di Jakarta, Indonesia. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) akan memacu kemajuan berpaksikan nilai Islam dan ketinggian budi dalam kalangan 25 negara anggotanya.

Yang Dipertua Negeri Melaka merangkap Presiden DMDI, Tun Mohd. Ali Mohd Rustam berkata, usaha menyatupadukan orang Melayu di rantau ini penting demi menegakkan kesejahteraan ummah dan mengangkat maruah bangsa di mata dunia.

Katanya, DMDI akan menelusuri segala cabang kehidupan antaranya bidang ekonomi, pendidikan, sains, inovasi, dakwah, kebajikan, budaya dan pelancongan.

“Dalam dunia pasca-moden yang semakin sarat dengan ujian, umat Islam dituntut menjadi obor keadilan dan pelita ilmu. Kita mesti menjadi bangsa yang memimpin peradaban, bukan sekadar mengikut arus globalisasi yang kian meresap nilai material semata.

“Kita mesti mengemudi lautan perubahan, mengembalikan sinar kegemilangan tamadun Melayu Islam yang pernah memerintah dengan hikmah, mendidik dengan ilmu dan memakmurkan dunia dengan adab,” katanya pada Majlis Konvensyen DMDI Ke-23 di sini, hari ini.

Mohd. Ali berkata, realitinya kini dunia Melayu Islam sedang diuji dengan perpecahan, permusuhan dan perebutan kuasa yang telah melemahkan semangat ukhuwah.

“Lihat sahaja apa yang berlaku di Palestin. Dunia sedang menyaksikan keganasan dan kekejaman berterusan pihak rejim Zionis ke atas penduduk di Gaza,” ujarnya.

Menurutnya, Sekretariat DMDI tidak terkecuali mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penghapusan etnik ke atas penduduk Gaza serta menyeru seluruh dunia Islam bersatu padu membela hak rakyat Palestin.

“Yang jelas Zionis telah melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN