PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon terkenal, Liyana Jasmay, menegaskan bahawa kritikan keterlaluan terhadap filem tempatan mampu menjejaskan minat penonton untuk ke pawagam, sekali gus mengekang perkembangan industri perfileman negara.
Menurut Liyana, 47, biarpun rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan untuk menyokong filem tempatan, namun mereka mudah terpengaruh dengan ulasan negatif yang tular di media sosial.
“Saya harap pengkritik filem mengkritik dengan lebih berhemah kerana itu memberi ruang dan peluang kepada orang ramai pergi menonton.
“Mungkin mereka tidak suka tetapi ada orang lain okey sahaja dengan filem tersebut.
“Orang Malaysia sebenarnya suka filem lokal cuma mereka adakalanya terkesan dengan ulasan pengulas filem,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Liyana yang juga penerbit filem Bella & Jamie turut berpandangan bahawa tidak semua individu layak bergelar pengkritik filem, lebih-lebih lagi apabila ulasan dibuat tanpa asas atau ilmu yang kukuh.
“Kepada yang reviu filem, ulaslah baik-baik sebab bila guna perkataan tak baik, orang akan terus terikut.
“Sentiasa beri peluang dan ada kredibiliti, kemudian biarkan penonton buat keputusan. Takut sebab kita, orang tak mahu pergi tonton di pawagam.
“Sebenarnya kalau jadi pengulas filem, kena ada ilmu dan sijil kelayakan. Kalau tiada, komen akan jadi terlalu ekstrem,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan komen-komen rambang di platform seperti TikTok dan YouTube.
“Industri kita kecil sahaja, kalau boleh nak semua dapat untung. Kalau industri kita ranap, ramai yang akan terjejas.
“Kalau semua untung, pasti ada lebih banyak lagi filem tempatan yang bagus akan dihasilkan.
“Jadi, jangan percaya buta-buta sahaja apa yang orang komen dalam TikTok ataupun YouTube. Nak beri komen pun, fikir dahulu,” katanya. -UTUSAN