PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad secara rasmi melangkah ke era baharu apabila operasi pembuatan syarikat itu dipindahkan sepenuhnya dari Shah Alam ke Tanjong Malim, Perak, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri automotif negara.
Langkah strategik itu menyaksikan seramai 1,400 kakitangan dari kilang Shah Alam berpindah ke Proton Tanjong Malim, yang terletak di Automotive High-Tech Valley (AHTV), dalam usaha menjadikan fasiliti berkenaan sebagai hab utama automotif nasional dan serantau.
Pemindahan penuh operasi tersebut dimuktamadkan selepas unit terakhir Proton Saga dikeluarkan di kilang Shah Alam pada 30 September lalu.
Kini, pengeluaran model berkenaan diteruskan di Tanjong Malim bersama model lain seperti Persona, siri SUV X dan sedan S70 di fasiliti moden yang turut menempatkan kilang pemasangan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama Proton.
Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Holdings Berhad, Ainol Azmil berkata, pemindahan ini bukan sekadar langkah operasi, tetapi merupakan simbol komitmen Proton untuk memacu inovasi dan memperkukuh daya saing industri automotif Malaysia.
“Hari ini merupakan satu detik bersejarah buat Proton apabila 1,400 rakan sekerja dari Shah Alam memulakan perjalanan baharu di Tanjong Malim. Dengan pengalaman dan dedikasi mereka, Proton kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam menghasilkan generasi baharu kenderaan nasional,” katanya.
Kilang Tanjong Malim kini menjadi teras global Proton dalam AHTV yang diiktiraf sebagai antara tapak automotif utama di Asia Tenggara.
Ia menempatkan lima bahagian pengeluaran utama iaitu pemesinan enjin dan rransmisi, penekapan (stamping), pemasangan badan, cat serta pemasangan akhir, bagi memastikan proses pengeluaran lebih efisien dan bersepadu.
Menurut Ainol, berlandaskan teknologi Industri 4.0, kilang ini dilengkapi dengan mesin tekan mekanikal terbesar di Malaysia serta barisan pemasangan enjin baharu 1.5 TGDi, satu-satunya di luar China.
“Dengan kapasiti pengeluaran 250,000 unit setahun, Proton turut memperkukuh rantaian pembekal tempatan melalui perluasan penyetempatan komponen secara agresif.
“Langkah ini juga meletakkan Tanjong Malim sebagai hab eksport utama model pemanduan sebelah kanan (RHD) bagi Kumpulan Geely di rantau Asia Tenggara serta pusat pemasangan Kenderaan Elektrik (EV) pertama di Malaysia.
“Sejak ditubuhkan pada tahun 1985, kilang Shah Alam telah menghasilkan lebih empat juta unit kenderaan termasuk model ikonik seperti Saga, Wira, Perdana dan Exora.
“Pemindahan ke Tanjong Malim menandakan kesinambungan legasi tersebut dengan penekanan kepada kecekapan, teknologi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.
Dengan penyatuan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemasangan dan pembuatan di bawah satu bumbung, Proton yakin langkah ini akan memperkukuh keupayaan syarikat untuk berdaya saing di peringkat global serta menyokong pertumbuhan ekosistem automotif dan EV tempatan selaras dengan aspirasi kerajaan membangunkan Automotive High-Tech Valley sebagai pusat automotif serantau. – UTUSAN









