KUCHING: Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) perlu mengadaptasi teknologi baharu termasuk digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi mendahului modus operandi penjenayah yang semakin kompleks dalam melindungi biodiversiti negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, dalam menghadapi cabaran era digital, penggunaan teknologi akan memperkukuhkan keberkesanan operasi dan keupayaan pengesanan terhadap aktiviti penyeludupan yang semakin sofistikated.
Katanya, perlindungan biodiversiti negara tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan strategik rentas agensi serta penglibatan masyarakat secara menyeluruh.
“Ancaman terhadap khazanah negara kini tergolong sebagai jenayah terancang rentas sempadan yang menuntut koordinasi menyeluruh antara agensi penguat kuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak komuniti bagi memastikan khazanah alam terus terpelihara.
“Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Kita perlu melihatnya sebagai satu ekosistem yang menuntut sinergi, bukan sekadar penguatkuasaan.
“OBK perlu mengadaptasi teknologi baharu termasuk digitalisasi dan AI bagi mendahului modus operandi penjenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat OBK Siri 18 Bilangan 2/2025 anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang berlangsung di Sematan, di sini, semalam.
Mohd. Khalid dalam pada itu menyeru semua pihak agar terus memperkasakan OBK sebagai platform nasional mempertahankan warisan alam negara demi generasi akan datang.










