PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan, Nubhan, didakwa telah memfailkan cerai terhadap isterinya, Afifah Hidayah Ahmad Tawfek di Mahkamah Rendah Syariah Sepang sejak awal bulan lalu.
Susulan itu, Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 39, dikatakan bakal hadir ke mahkamah bagi prosiding pengesahan lafaz cerai yang dijadualkan besok dengan peguam masing-masing.
Malah menurut sumber Kosmo! Online, penyanyi Selamat Tinggal Cinta itu juga dilaporkan sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak Ogos lalu selepas Nubhan melafazkan talak.
Bagaimanapun, Nubhan gagal dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas lanjut mengenai dakwaan ini.
Dalam pada itu, peguam mewakili isteri Nubhan, Datuk Akberdin Abdul Kader bagaimanapun telah mengesahkan bahawa Afifah Hidayah bakal hadir ke mahkamah besok.
“Saya difahamkan suami kepada anak guam saya melafazkan talak ketika mereka berdua berada di dalam kereta sekitar akhir Ogos tahun ini.
“Cuma saya tak pasti sama ada hakim akan beri keputusan atau mengesahkan perceraian mereka esok kerana biasanya perlu ada siasatan dulu.
“Punca diceraikan, kita tunggu sahaja esok. Sebarang maklum balas membabitkan anak guam saya boleh dijawab selepas prosiding selesai,” katanya.
Terdahulu, Nubhan dan Afifah Hidayah sah bergelar suami isteri pada 29 Ogos 2015.
Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3. -UTUSAN