KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak mengaku di Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa dia ada memaki pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dengan kata-kata kesat pada malam 15 Julai lalu, sewaktu remaja terbabit disoal siasat berhubung kes kecurian.
Kata saksi kanak-kanak ke-13 itu, dia menjerit `bodoh, s**l’ terhadap remaja terbabit kerana marah disebabkan Zara Qairina tidak mengakui kesilapannya walaupun pin benderanya yang hilang ditemui di dalam beg pelajar Tingkatan Satu itu.
Saksi merupakan senior kepada Zara Qairina tetapi tinggal di dalam dorm yang sama (A3-5) yang terletak di tingkat 3, Blok A, Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratun `Ayun, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.
Menurut keterangan saksi sebelum ini, setiap dorm mempunyai antara 13 orang terdiri daripada dua pelajar tingkatan empat dan bakinya adalah pelajar tingkatan satu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Joan Goh yang turut disahkan oleh peguam, Shahlan Jufri dan Azhier Farhan Arisin ketika ditemui media selepas tamat prosiding inkues kematian Zara Qairina yang memasuki hari ke-23, hari ini.
Terdahulu, saksi kanak-kanak yang juga saksi inkues ke-23 memberitahu dia ada bertanya kepada Zara Qairina berhubung pin bendera yang ditemui dalam beg remaja terbabit pada sesi soal siasat yang dijalankan di dorm A3-6, malam 15 Julai lalu.
Bagaimanapun katanya, dia lebih ingin mengetahui bagaimana pin benderanya ada dalam beg Zara Qairina berbanding aduan kecurian yang turut mengesyaki remaja terbabit.
Saksi memberitahu dia ada bertanya ‘Zara, macam mana benda ini ada dalam beg kau?’ sementara kawan-kawannya turut meminta remaja terbabit mengaku ‘Kau mengaku saja kalau kau yang ambil, mereka tidak marah juga’.
Disebabkan Zara Qairina tetap tidak mengaku, saksi itu kemudian bertindak meninggalkan remaja terbabit di dorm berkenaan dan kembali ke dormnya kira-kira pukul 11 malam.
Saksi itu memberitahu, sepanjang soal siasat itu, dia dan rakan-rakan senior lain tidak pernah memukul atau menyentuh Zara Qairina.
Tidak lama kemudian, saksi kemudian memberitahu dia melihat Zara Qairina memasuki dorm mereka dan baring di atas lantai. Kira-kira pukul 12.30 malam, saksi berkata, dia melihat Zara Qairina keluar dari dorm namun tidak mengetahui kemana remaja itu pergi.
Dia kemudiannya diberitahu oleh tiga penghuni lain bahawa mereka nampak Zara Qairina menangis di tandas aras yang sama ketika dalam perjalanan untuk tidur di dorm berlainan (A3-7).
Tiga penghuni itu juga memberitahu saksi kanak-kanak terbabit bahawa mereka melihat Zara Qairina mengeluarkan kepalanya dari atas dinding bilik tandas dan melihat mereka.
Dia bagaimanapun hanya mendiamkan diri dan terus ke dorm A3-7 untuk tidur bersama rakan-rakan senior lain sebelum dikejutkan oleh seorang penghuni lain kerana Ketua Warden, Azhari Abdul Sagap memanggilnya.
Prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok. – UTUSAN









