Malaysia sedia hantar satu batalion pasukan pengaman ke Gaza

Malaysia sedia hantar satu batalion pasukan pengaman ke Gaza

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035, di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bersedia menghantar satu batalion pasukan pengaman ke Gaza bagi membantu usaha menstabilkan keadaan dan memulihkan keamanan sekiranya mandat diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia telah pun menyediakan satu batalion khas untuk tujuan pengamanan tersebut. 

“Kita memang bersedia. Semasa saya menyertai mesyuarat menteri-menteri negara di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempunyai pasukan pengaman, Malaysia sudah pun menyatakan kesediaan untuk menghantar dan telah mendaftar satu batalion untuk perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia bersedia untuk menghantar pasukan pendamai ke Gaza bagi menjamin keamanan susulan perjanjian pelan damai yang ditandatangani di Mesir, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara berkaitan penghantaran pasukan itu akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seterusnya diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mohamed Khaled berkata, keputusan muktamad mengenai penyertaan Malaysia hanya akan dibuat selepas PBB memuktamadkan mandat penempatan pasukan pengaman antarabangsa di Gaza.

Beliau menegaskan, isu kos tidak menjadi keutamaan pada peringkat ini kerana keutamaan kerajaan adalah membantu misi keamanan dan kemanusiaan di Gaza.

“Kalau nak tolong, tak perlu fikir soal kos dahulu. Yang penting, kita bersedia dan mampu melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Mohamed Khaled turut menyatakan bahawa penyertaan Malaysia dalam misi pengaman antarabangsa menggambarkan kepercayaan global terhadap kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komitmen negara terhadap keamanan dunia.

Tambah beliau, Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam misi pengaman antarabangsa, termasuk di Lubnan di bawah pasukan PBB di Lubnan (UNIFIL), yang membuktikan keupayaan serta profesionalisme anggota tentera negara.

Menurutnya, pasukan yang kini berkhidmat di Lubnan akan kekal di sana.

“Batalion yang bakal dihantar ke Gaza merupakan pasukan lain yang telah bersedia untuk digerakkan sekiranya Malaysia dipilih oleh PBB dan bukan pasukan yang sama,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN