KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 menghimpunkan kira-kira 3,000 delegasi dari dalam dan luar negara yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penganjuran acara ini sangat penting kerana platform ini berharga untuk meneroka dan menggabungkan teknologi serta pembangunan modal insan.
“Apa yang kita lakukan sepanjang tiga hari ini ialah menghimpunkan bakat terbaik dan pemimpin dalam bidang masing-masing dari Malaysia dan seluruh dunia untuk mempersiapkan lebih ramai individu, bukan sahaja untuk menghadapi masa depan tetapi juga untuk membinanya bersama.
“Kami berharap dapat memperkasa keupayaan dan potensi rakyat Malaysia dengan membekalkan mereka kemahiran kritikal yang diperlukan untuk masa depan,” katanya ketika merasmikan NHCCE 2025 di MITEC, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, persidangan ini meletakkan NHCCE 2025 sebagai pemangkin bagi kerjasama serantau.
Katanya, rantau ini dapat berkerjasama dalam inovasi, pembangunan bakat serta menyatukan negara-negara ASEAN dalam mempromosikan agenda peningkatan kemahiran serta latihan semula kemahiran untuk masa depan pekerjaan.
“Berteraskan tema ‘Menerajui Revolusi Modal Insan’, persidangan ini membincangkan bagaimana Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi disruptif mampu mentransformasikan tempat kerja sambil memupuk keterangkuman, daya tahan serta hubungan kemanusiaan.
“Persidangan ini juga menampilkan lebih 30 penceramah ternama, antarabangsa dan tempatan di samping pameran yang mengetengahkan inovasi terkini dalam pembangunan modal insan,” katanya.
Antaranya yang tampil pada forum ialah ahli fizik teori terkemuka, Dr Michio Kaku, bintang ragbi bertaraf dunia, Sonny Bill Williams serta pemenang 13 kali Grand Prix dan bekas pelumba Formula 1 (F1), David Coulthard.
Selain itu, tokoh berpengaruh tanah air seperti arkitek transformasi negara, Datuk Seri Idris Jala dan bekas juara skuasy dunia, Datuk Nicole Ann David.
Selain persidangan, NHCCE 2025 turut menampilkan pameran modal insan terbesar di rantau ini dengan lebih 300 reruai yang mempamerkan penyelesaian dan perkhidmatan terkini.
Pengunjung yang hadir turut berpeluang menyertai sesi rangkaian perniagaan BizMatch, Pocket Talks, Masterclasses, Fireside Chats serta Pameran Kerjaya MYFutureJobs oleh PERKESO yang menampilkan majikan terkemuka daripada pelbagai industri.-UTUSAN