PEMINAT nasyid yang membesar pada era 80-an dan 90-an tentunya mengenali Nadamurni yang menjadi pencetus muzik genre itu di negara ini.
Kumpulan ini, yang dibentuk pada tahun 1987 menjadi ikutan kerana impak yang dibawa menerusi lagu yang mereka cipta dan nyanyikan.
Nadamurni menerbitkan 44 album sepanjang lapan tahun ditubuhkan. Karya mereka merentas masa dan benua. Sampai sekarang lagu-lagu mereka terus didengari peminat pelbagai peringkat usia.
Kumpulan yang di permulaan dianggotai 30 ahli ini sentiasa konsisten dengan perjuangan dakwah menerusi muzik yang mereka ketengahkan.
Malah Nadamurni, sebelum berpecah menjadi Rabbani dan Hijjaz selepas tahun 1994, bergerak membuat persembahan di merata tempat.
“Antaranya tempat yang paling tidak kami sangka untuk membuat persembahan adalah di sebuah kelab malam yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur sekitar awal 90-an.
“Kami ketika itu terima jemputan komposer Roslan Aziz untuk membuat persembahan dengan Datuk Zainal Abidin di kelab itu.
“Saya masih ingat respons pengunjung pada malam itu yang terdiam sebaik sahaja kami, 15 orang kesemuanya, lengkap memakai jubah, muncul menyampaikan lagu Asmaul Husna, Thola’ al Badru ‘Alaina dan Sifat 20. Pengunjung bertepuk tangan sebaik sahaja persembahan kami tamat.
“Matlamat kami adalah untuk menyampaikan dakwah, tidak kiralah di mana tempatnya sekalipun.
Tidak pernah terfikir jejakkan kaki
“Kelab malam itu, antara tempat yang kami tidak pernah terfikir untuk jejakkan kaki dan membuat persembahan,” kongsi Ismen Nadim Isam atau Isman Hijjaz.
Kongsi Isman, kumpulan Nadamurni juga pernah terbang ke pelbagai negara, antaranya Australia, Turki, Uzbezkistan, Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei untuk memenuhi undangan persembahan.
“Pada 1991, saya, Allahyarham Mohamad Asri Ibrahim atau Ustaz Asri bersama Yusof Sobri ditemani Farihin Abdul Fatah pergi ke London untuk membuat persembahan sempena World Islamic Exhibition.
“Kami berada di sana selama tiga bulan kerana selain menghadiri acara itu, kami turut menziarahi pelajar Malaysia dan mengajar persembahan nasyid kepada mereka.
“Dulu, merata tempat kami pergi, dari luar negara sampailah kawasan pedalaman dalam Malaysia. Semua atas usaha dakwah menerusi lagu-lagu Nadamurni,” kongsinya.
Jualan album jutaan ringgit
Nadamurni menerbitkan lebih 40 album sepanjang lapan tahun pembabitan mereka dalam dunia nasyid tempatan.
Menurut Ismen, Nadamurni pernah merekodkan jualan sehingga jutaan unit menerusi album Asmaul Husna yang dipasarkan pada penghujung 80-an.
“Kami terkejut apabila diberitahu album tersebut terjual sehingga 6 juta unit. Jumlah itu tidak termasuk cetak rompak.
“Kami juga tidak menyangka yang album-album Nadamurni ini turut dijual di luar negara termasuk Eropah dan Asia Barat.
“Ketika kejayaan-kejayaan ini diraih, kami hanyalah pelajar yang tidak memikirkan tentang wang. Cukuplah kebajikan kami dijaga oleh pihak madrasah,” kongsinya.
Bercerita mengenai karya, kata Ismen, kesemua lagu Nadamurni dicipta sepenuhnya anggota kumpulan itu.
“Contoh lagu Di Pondok Kecil yang liriknya menceritakan tentang guru-guru kami yang merantau untuk berdakwah.
“Lagu itu memberi kesan apabila kami nyanyikan kerana melihat sendiri pengorbanan mereka meninggalkan rumah tanpa menjamin kepulangan semula ke pangkuan keluarga,” ujarnya.
Tiada kaitan dengann Al Arqam
Anggota kumpulan Rabbani yang juga ahli Nadamurni, Azadan Abdul Aziz tidak menolak hakikat kumpulan itu sebelum ini pernah dinaungi Al Arqam.
Namun, tegasnya Nadamurni tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti membabitkan gerakan itu.
“Dan kami membawa haluan sendiri, atas nama Rabbani dan Hijjaz sebaik sahaja Al Arqam diharamkan pada tahun 1994.
“Lagu-lagu kami pun tidak menjurus kepada ideologi yang dibawa Al Arqam.
“Kami menghasilkan lagu tentang ketuhanan, keinsafan nasihat dan sebagainya. Tiada kaitan dengan Al Arqam,” katanya.