Cik Bunga tahu, ada kala, kita buat kesilapan itu bukanlah kerana ia disengajakan. Kadang-kadang kita tidak bermaksud pun hendak buat sesuatu itu, tetapi kerana terlalu teruja atau gagal kawal emosi, maka kita boleh terjebak ke kancah kesilapan.
Tetapi dalam bab pengacara dan penyampai radio terkenal yang seorang ini, Cik Bunga pun tidak tahu hendak tegur bagaimana lagi. Memang bukan tugas Cik Bunga pun untuk beri teguran, tetapi kita pun pendengar dan kita pun orang dalam industri seni hiburan ini.
Maka sama-sama ambil tanggungjawab dan peranan untuk tegur apa yang tidak kena dan sebagainya macam Nabil, bukan sekali dua dia asyik terlepas cakap atau terlepas laku untuk sesuatu isu sensitif.
Rasanya warganet pun boleh tolong senaraikan segala macam ‘onar’ yang pernah Nabil buat yang menyebabkan ramai tidak senang hati. Memang betul, hendak buat semua orang suka atau puas hati dengan kita bukan mudah. Tetapi kalau kesilapan itu sering sahaja dilakukan, bila empunya diri ini hendak bermuhasabah diri dan ambil iktibar?
Terbaharu, menerusi siaran langsung radio baru-baru ini, Nabil terlepas kata lagi ketika menemu bual Zizi Kirana yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Mungkinlah asalnya Nabil hanya bergurau, tetapi bahayanya di sini, gurauan itu seakan tidak menampakkan Nabil seorang yang cerdik dalam berkata-kata. Semua orang yang sertai misi tersebut bergadai nyawa sebenarnya, bukan saja-saja pergi demi glamor.
Jadi, Nabil, tolonglah, kali ini, ambil pengajaran dan belajar untuk diam apabila tiada apa yang perlu dikatakan. Tidak semua perkara boleh jadi bahan jenaka dan tidak semua perkara perlu menyaksikan awak ‘buka mulut’.
Mungkin, pihak Astro pun boleh beri teguran kepada Nabil untuk memperbaiki mutu penyampaiannya di radio.