Myanmar perlu hentikan keganasan

Myanmar perlu hentikan keganasan, adakan dialog sebelum pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Myanmar perlu menghentikan keganasan dan mengadakan dialog politik inklusif sebelum pilihan raya pada Disember nanti.

Kenyataan Menteri Luar ASEAN berkata, pihaknya mengambil maklum rancangan Myanmar untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dan jemputan yang telah diberikan kepada negara anggota ASEAN untuk menghantar pemerhati pilihan raya.

Katanya, ASEAN menekankan kepentingan agar pilihan raya perlu dijalankan secara bebas, adil, aman, telus, inklusif dan berwibawa.

“Kami menyeru pengukuhan kerjasama antara anggota ASEAN dan rakan luar termasuk  negara jiran Myanmar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan tujuan menyokong usaha menangani krisis di Myanmar.

“Kami juga menyeru ASEAN untuk  memerangi jenayah rentas sempadan yang berpunca daripada konflik tersebut, termasuk pemerdagangan manusia, pengedaran dadah, perpindahan penduduk, ancaman siber, penipuan dalam talian, dan risiko keselamatan lain,”  katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, pemimpin negara ASEAN sekali lagi menggesa pihak berkuasa Myanmar untuk  mengekalkan gencatan senjata dan mematuhi  pelan damai Konsensus Lima Perkara (5PC) blok serantau itu.

Katanya, blok serantau itu menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap konflik serta situasi kemanusiaan yang kritikal di negara itu serta kekurangan kemajuan ketara dalam pelaksanaan 5PC.

“Kami menegaskan semula Konsensus Lima Perkara sebagai rujukan utama dalam menangani krisis politik di Myanmar.

“Pelaksanaan penuh 5PC amat penting bagi mencapai penyelesaian damai yang inklusif dan berkekalan, yang dimiliki serta diterajui oleh rakyat Myanmar sendiri, demi kesejahteraan rakyatnya dan kestabilan rantau ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN