Muhammad Amar yang baik, hajat tinggal dengan ibu tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Muhammad Amar yang baik, hajat tinggal dengan ibu tidak kesampaian

MUHAMMAD Badrul Rameli (tengah) bersama ahli keluarga membawa jenazah anaknya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujur, Jelawat, Bachok, Kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kanak-kanak yang maut dipukul bapa saudara menggunakan tukul dalam kejadian pada Khamis lalu, Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, disifatkan sebagai seorang anak yang baik.

Sepupunya, Amirul Nizam Saiful Bahari, 25, berkata, sikap arwah yang lemah lembut membuatkan dia cukup disenangi dalam keluarga.

“Muhammad Ammar seorang yang lemah lembut dan budak baik. Kali terakhir saya bertemu dengannya pada dua minggu lalu semasa majlis pertunangan saudara kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung  Mujur, Jelawat di sini malam tadi.

Amirul Nizam memberitahu, bagaimanapun impian kanak-kanak itu untuk tinggal bersama ibunya tidak kesampaian.

“Saya menjadi sebak apabila teringat permintaan arwah yang dijangka akan berpindah dan tinggal dengan ibunya pada tahun hadapan di Terengganu.

“Hasrat tersebut ditangguhkan kerana ingin habiskan sesi persekolahan di sini pada tahun ini. Sepanjang menjalani rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian kedua ibu bapanya, Muhammad Badrul Rameli, 31, dan Nur Ayuni Mohd. Kamarulzaman, 29, sentiasa ada di sini Muhammad Ammar,” ujarnya.

Muhammad Ammar merupakan anak tunggal kepada pasangan yang sudah berpisah itu.

Sebelum itu, suasana pilu menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujur, Jelawat di sini yang menjadi lokasi pengebumian jenazah kanak-kanak maut akibat dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya dalam kejadian Khamis lalu.

Jenazah Muhammad Ammar selesaikan dikebumikan pada pukul 10.50 malam.

Terdahulu, Muhammad Ammar menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 3.02 petang selepas bertarung nyawa selama seminggu semasa menerima rawatan HPUSM.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditemukan mati apabila bertindak menggantung dirinya pada sebatang pokok ru selepas memukul anak saudaranya hingga parah dengan sebatang tukul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, suspek yang berusia 46 tahun menggantung dirinya pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi di sini selepas melakukan perbuatan tersebut.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN