KUALA LUMPUR: Kejayaan misi flotilla kemanusiaan ke Gaza bukan hasil inisiatif kerajaan sebaliknya digerakkan oleh semangat juang anak muda Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil berani mengetuai usaha itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan hanya memainkan peranan sebagai penyokong dan pemudah cara bagi memastikan misi berkenaan berjalan lancar.
“Saya tidak boleh ambil kredit atas usaha ini. Anak muda Malaysia yang ambil inisiatif. Kerajaan hanya menyokong dan memudahkan segala urusan mereka.
“Mereka minta sokongan rasmi saya dan saya kata ya. Malaysia merupakan negara pertama menyatakan sokongan secara terbuka terhadap misi flotilla ini,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap dalam program In-Conversation With Prime Minister sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan perkembangan gencatan senjata terkini, Malaysia juga menyampaikan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam usaha damai, termasuk Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir.
“Sekarang mereka berada di Sharm el-Sheikh bagi peringkat awal rundingan. Saya telah mencadangkan kepada rakan-rakan Suara Nusantara Flotilla untuk menghantar bantuan melalui darat, bukan lagi laut,” katanya.
Anwar memaklumkan akan menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi bagi memohon kebenaran agar konvoi Malaysia dapat melalui lintasan Rafah untuk menyalurkan bantuan terus ke Gaza.
Katanya, walaupun Malaysia sebuah negara kecil dan tidak memiliki kekuatan ketenteraan besar, negara ini tetap tegas memperjuangkan maruah dan keadilan sejagat.
“Nilai yang kita junjung adalah maruah. Sebab itu kita bantu di mana perlu sama ada dalam konflik Thailand dan Kemboja atau menghantar hospital medan ke Myanmar. Kita lakukan semua ini atas dasar kemanusiaan,” katanya.










