Mimi Lana cadang kes jenayah bawah umur dibawa ke tali gantung - Utusan Malaysia

Mimi Lana cadang kes jenayah bawah umur dibawa ke tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lantang bersuara mengenai isu jenayah seksual dan keganasan terhadap kanak-kanak di media sosial, pelakon, Mimi Lana mencadangkan agar kes jenayah bawah umur harus dibawa ke tali gantung.

Menurut Mimi, isu jenayah melibatkan kanak-kanak bawah umur pada zaman kini semakin membimbangkan malah menyifatkan hukuman yang ditetapkan tidak membantu menyedarkan pesalah.

“Rasanya kes jenayah bawah umur ini sudah boleh bawa ke kes tali gantung.

“Mereka ini besar kepala sebab akta bawah umur ini selalu selamatkan mereka,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.

Dalam hantaran sama, pelakon filem The Experts itu juga kesal dengan sikap segelintir ibu bapa yang terlalu mengambil ringan terhadap isu jenayah yang dilakukan oleh anak mereka.

Lebih membimbangkan, ada juga ibu bapa yang menyifatkan jenayah yang dilakukan oleh segelintir kanak-kanak di bawah umur kerana mereka tidak mampu berfikiran secara rasional.

“Ibu bapa pun ambil sambil lewa mengenai isu ini.  Konon anak bawah umur tak berfikiran rasional.

“Rogol anak orang, buli anak orang pandai pula,” jelasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menyokong kenyataan Mimi sekali gus berharap pihak berkuasa mengetatkan lagi undang-undang di Malaysia terutamanya terhadap pelaku jenayah seksual.

Sebelum ini, empat pelajar Tingkatan Lima direman selama enam hari sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga secara berkumpulan secara bergilir-gilir.

Kes jenayah yang berlaku di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka itu mendapat sorotan ramai pihak selepas tular baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN