BUTTERWORTH : Pulau Pinang menyasarkan nilai jualan sehingga mencecah RM250,000 pada Melaka International Halal Festival 2025 (MIHF25) menerusi penyertaan 18 usahawan bumiputera negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, program itu diyakini berupaya menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan milik usahawan setempat.
Katanya, kesemua peserta yang menyertai festival itu merupakan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) termasuk tujuh usahawan asnaf Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP).
“Pelbagai produk kita yang bawa ke sana termasuklah produk berkaitan makanan, produk perubatan dan kesihatan, produk terapi serta rempah-ratus.
“Paling utama, kesemua produk yang ditawarkan ini mempunyai pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan konvoi Delegasi Usahawan Bumiputera Pulau Pinang ke MIHF25 di Dewan Al Ansar, Masjid Al Muhajirin di Seberang Jaya di sini, petang tadi.
MIHF25 akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) selama empat hari iaitu bermula Khamis sehingga Ahad ini.
Sementara itu, Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat negeri berkata, sehingga kini, terdapat sebanyak 1,700 usahawan termasuk bukan bumiputera memiliki pensijilan halal di Pulau Pinang.
“Jumlah itu menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri ketiga tertinggi yang memiliki pensijilan halal selepas Selangor dan Johor.
“Bermula tahun ini hingga September lepas, kita menerima lebih 800 permohonan baharu bagi sijil halal dengan penyertaan Bumiputera meningkat hampir 30 peratus,” katanya yang mengharapkan lebih ramai usahawan akan memohon pensijilan halal bagi memperkukuh produk mereka sekali gus meningkatkan peluang pasaran antarabangsa.-UTUSAN