PUTRAJAYA: Syarikat META menjelaskan, pihaknya tidak melakukan tindakan menurunkan dua laman Facebook milik sebuah portal berita tempatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, META juga menjelaskan mereka tiada bukti wujudnya rangkaian 263 akaun yang terlibat dalam aktiviti Coordinated Inauthentic Behaviour (CIB) pro-Anwar.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga tidak menerima atau memfailkan aduan mengenai perkara itu seperti yang dilaporkan portal terbabit.
“META di Singapura tidak menerima sebarang pertanyaan daripada portal itu berkenaan dakwaan penurunan laman Facebook tersebut dan mereka (META) telah minta supaya maklumat diberikan.
“META juga telah mengesahkan bahawa dakwaan 263 akaun yang dikatakan tersebut tidak melakukan aktiviti CIB seperti yang didakwa.
“Ini berdasarkan analisa daripada pasukan khas META yang meneliti isu melibatkan CIB,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan portal itu semalam berhubung kewujudan rangkaian 263 akaun yang terlibat dalam kempen tersusun untuk meningkatkan sokongan secara palsu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman Facebook rasminya.
Portal itu mendakwa dua laman Facebooknya telah diturunkan hari ini kerana melanggar garis panduan komuniti META selepas membuat pendedahan berkenaan.
Dalam pada itu, Fahmi turut menekankan bahawa kesulitan untuk melakukan pengesahan identiti melalui proses Electronic Know Your Customer (EKYC) adalah antara isu yang membelenggu penggunaan platform media sosial.
“Apa yang berlaku adalah EKYC untuk platform-platform ini tidak berjalan dan tiada pengesahan umur yang sewajarnya.
“Jadi bagi saya untuk menyelesaikan isu ini paling utama adalah isu keselamatan dalam talian terutama untuk kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN










