KUALA LUMPUR: Lagu Mengukir Takdir sudah dicipta lebih awal sebelum penyanyinya, Datin Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi, menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Hazwani yang juga pencipta lagu itu bersama komposer Wan Saleh berkata, karya tersebut lahir daripada keinginan mereka untuk menzahirkan semangat perjuangan terhadap Palestin, bukan kerana ingin menunggang isu semasa.
“Lagu Mengukir Takdir kami hasilkan sebelum tahu pun tentang GSF. Ketika itu kami sudah teringin hendak ke Gaza sebab sejak 7 Oktober 2023 lagi kami hantar pasport, tapi belum berpeluang ke sana.
“Oleh sebab tidak dapat pergi, kami fikir mungkin lebih baik hasilkan sebuah lagu yang boleh memberi semangat kepada diri sendiri dan juga kepada rakyat Palestin,” kata Hazwani.
Mereka ditemui selepas mempersembahkan lagu tersebut pada program Cahaya Hati 1.0 anjuran One World Muslimah di Dewan Matrade, semalam, yang dihadiri lebih 1,000 peserta.
Selain The Helmis, Program Cahaya Hati 1.0 turut menampilkan pendakwah bebas dari Indonesia, Ustazah Dr Oki Setiana Dewi sebagai panel jemputan.
Heliza turut menjelaskan, beberapa rakan artis seperti Zizi Kirana, Ardell Aryana dan Iylia Balqis sudah mendengar lagu berkenaan lebih awal sebelum misi kemanusiaan itu bermula sekali gus menolak dakwaan bahawa ia dibuat semata-mata untuk menumpang populariti isu Palestin.
“Kami hanya berdoa agar Allah kekalkan niat kami di jalan yang betul. Orang boleh kata apa sahaja, tapi biarlah kata-kata itu baik dan tidak menambah dosa sesiapa,” katanya.
Hazwani pula berkata, mesej utama lagu itu adalah membangkitkan semangat pendengar agar terus berjuang bersama Palestin dan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.
“Lagu ini memang kami mahu orang boleh rasa dekat dengan perjuangan. Bila dengar pertama kali, mungkin teringat Rasulullah SAW, kali kedua mungkin Palestin dan kali ketiga mungkin diri sendiri.
“Kebetulan selepas lagu siap dirakam, barulah kami tahu tentang Global Sumud Flotilla. Susunan Allah itu sangat indah. Lagu datang dahulu, kemudian barulah misi itu,” katanya.-UTUSAN










