KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, Majlis Anugerah Pendidikan Malaysia (MEA) diadakan di ibu negara bagi mengiktiraf komitmen, inovasi dan nilai profesionalisme para pendidik, khususnya dalam bidang pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak.
Menurut Bendahari Majlis Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE Council), Jol Anne, penganugerahan tersebut bukan sekadar mengiktiraf pencapaian institusi tetapi juga sebagai satu penghargaan terhadap semangat dan dedikasi warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan negara.
“Para pendidik yang mempunyai standard tinggi mampu mencipta pengalaman pembelajaran yang bermakna untuk kanak-kanak. Mereka memainkan peranan penting sebagai tonggak utama dalam membina masa depan anak-anak.
“Menjadi sebahagian daripada misi ECCE Council untuk menyokong profesion ini demi memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat pendidikan sewajarnya dalam suasana penuh kasih sayang,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Salah seorang penerima anugerah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Seven Skies Islamic International School, Tahir Usman berkata, pengiktirafan yang diterima hari ini menjadi pembakar semangat untuk terus melahirkan pelajar yang cemerlang dan berakhlak mulia.
Menurut beliau, sekolah tersebut yang menerima Anugerah Sekolah Antarabangsa Terbaik dibangunkan berteraskan kurikulum pendidikan Islam dengan tumpuan kepada tiga tunjang utama iaitu Pengajian al-Quran, Pengajian Islam dan Bahasa Arab.
“Sekolah ini ditubuhkan pada 2014 menggunakan sistem Early Years Foundation Stage (EYFS) dari United Kingdom bagi prasekolah, UK National Syllabus untuk peringkat rendah dan IGCSE Cambridge bagi peringkat menengah.
“Pada masa akan datang, kami merancang untuk membuka kampus baharu di Kota Damansara dalam tempoh dua tahun lagi yang mampu menampung kira-kira 1,500 pelajar,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Kinderhive, Norsham Bidin berkata, anugerah yang diterima merupakan hasil usaha berterusan pihaknya dalam membangunkan modul pendidikan berasaskan akhlak Rasulullah SAW yang menekankan pembentukan sahsiah dan nilai murni sejak usia tadika lagi.
Beliau berkata, Kinderhive yang menerima dua pengiktirafan iaitu Anugerah Francais Pendidikan Terbaik (Prasekolah) dan Anugerah Prasekolah Islamik Terbaik komited untuk terus menjadi platform yang membantu membangunkan tadika Islamik berkualiti serta mendidik generasi baharu dengan nilai-nilai Islam.
“Ramai pengusaha baharu takut untuk membuka tadika sedangkan bidang ini adalah satu bentuk khidmat kepada masyarakat. Kita bukan sekadar mendidik, tetapi membentuk generasi yang berakhlak dan berilmu.
“Pembentukan akhlak mesti bermula di peringkat prasekolah kerana di situlah asas sahsiah dibina,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Pengetua Idrissi International School, Nur Raimi Rasdi berkata, beliau melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima.
Katanya, sekolah tersebut yang menerima Anugerah Sekolah Antarabangsa Terbaik kini merancang untuk mengembangkan operasi ke Singapura.
“Idrissi International School bermula kira-kira 10 tahun lalu di Shah Alam dan kini mempunyai tiga kampus termasuk dua di Johor Bahru. Kami menggunakan kurikulum Cambridge yang digabungkan dengan nilai Islam bagi melahirkan pelajar berilmu, berakhlak dan mencintai alam sekitar,” katanya.
Pengasas Pusat Tuisyen Warna Cemerlang, Evelyn Leong berkata, anugerah Pusat Tuisyen Terbaik yang diterima merupakan penghargaan besar terhadap usaha bertahun-tahun semua tenaga pengajar dalam membantu pelajar mencapai potensi terbaik masing-masing.
“Konsep kami bukan sekadar kelas tambahan, tetapi tempat pelajar datang untuk difahami, bukan dihakimi. Kami bukan hanya mengajar akademik, tetapi turut memberi motivasi dan bimbingan.
“Perjalanan kami bukan mudah, namun kejayaan pelajarlah yang menjadi sumber kekuatan untuk kami terus bersemangat dalam profesion ini,” katanya.
Tahun ini, sebanyak 11 anugerah berbeza diperkenalkan pada MEA bagi menghargai kecemerlangan institusi pendidikan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor pendidikan negara.
Penganjuran MEA 2025 turut diadakan bersempena Early Childhood Education Expo (ECEE) dan Malaysia Education Franchise Expo (MEFE) 2025 yang menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan, pengusaha francais serta tenaga pengajar dari seluruh negara.
Bagi kategori Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dalam Industri Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Kategori Syarikat), anugerah tertinggi itu dirangkul oleh Krista Group, manakala Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dalam Industri Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Kategori Individu) dimenangi oleh Datuk R. Rajendran.
Anugerah Prasekolah Terbaik pula dimenangi oleh Fun Home, manakala Anugerah Francais Pendidikan Terbaik (Kategori Pusat Perkayaan) dimenangi oleh Micfront Public Speaking.
Dalam kategori prasekolah, Anugerah Francais Pendidikan Terbaik (Kategori Prasekolah) dimenangi oleh Ten Toes Academy.
Seterusnya, Anugerah Sistem Aplikasi Sekolah Terbaik (Kategori Perpustakaan Digital) dimenangi oleh EPlatform Digital Libraries, manakala Anugerah Program Perkayaan Terbaik dimenangi oleh Eye Level Malaysia. – UTUSAN










