GEORGE TOWN : MCA tidak menjalin sebarang kerjasama dengan DAP seperti dakwaan sesetengah pihak, sebaliknya, kekal memainkan peranan sebagai parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) sahaja.
Perkara itu ditegaskan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Pulau Pinang di sini, hari ini.
Justeru, beliau berkata, dakwaan kononnya MCA bekerjasama dengan DAP menjelang pilihan raya akan datang adalah tidak berasas sama sekali kerana MCA kini berfungsi sebagai semak dan imbang terhadap dasar yang dilaksanakan.
“Adakah MCA bekerjasama dengan DAP? DAP sendiri selalu mengkritik bahawa MCA bukan sebahagian daripada kerajaan.
“Kami tidak berada dalam Kabinet. Jadi, menjadi tanggungjawab kami untuk menjalankan peranan semak dan imbang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Ka Siong, ketika ini, segelintir pihak masih gagal untuk memahami kedudukan sebenar MCA dalam landskap politik negara khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Jangan pula kata saya perlu menjadi ‘yes man’. Jika sesuatu dasar itu tidak betul, maka, saya berhak untuk bersuara. Ini bukan soal menentang, tetapi demi kebaikan rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai desakan daripada segelintir akar umbi MCA yang mahu parti itu keluar daripada BN sekiranya UMNO terus bekerjasama dengan DAP, Ka Siong menyifatkan bahawa pandangan itu timbul akibat salah faham terhadap situasi sebenar.
“Hubungan MCA dan UMNO kadang kala terjejas kerana persaingan politik tradisi. Ada yang menuduh kami mengkhianati kaum Cina. Tetapi, persoalannya ialah janji siapa yang mampu mereka tunaikan? Apabila berkuasa, mereka perlu buktikan,” ujarnya.
Ditanya mengenai lantikan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebagai pengerusi kehormat sebuah kumpulan industri ASEAN-China oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini pula, Ka Siong berkata, pelantikan seperti itu adalah hak prerogatif Perdana Menteri.
“Saya sendiri tidak tahu apa jawatan itu. Anda perlu tanya Perdana Menteri yang membuat pelantikan, bukan Wee Ka Siong daripada MCA. Ia tiada kena-mengena dengan saya,” katanya yang bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.









