JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melaksanakan satu kajian menyeluruh bagi menilai semula tahap keselamatan bangunan-bangunan sedia ada sebagai persediaan menghadapi situasi gempa bumi.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata, kajian itu akan melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain, institusi pengajian tinggi dan pakar berkaitan lain.
“Susulan kejadian gempa bumi berskala lemah dan sederhana yang dilaporkan berlaku di Segamat baru-baru ini, kita diingatkan bahawa tiada kawasan daratan yang benar-benar selamat daripada bencana alam itu.
“Susulan itu, kajian perlu dibuat untuk melihat sama ada terdapat keperluan menetapkan piawaian baharu terhadap syarat pembinaan bangunan bagi mengurangkan risiko kerosakan besar sekiranya berlaku kejadian gempa bumi,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Penuh MBJB di sini hari ini.
Mohd. Haffiz berharap kajian tersebut dapat dilaksanakan Jabatan Kawalan Bangunan MBJB dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, METMalaysia, Jabatan Mineral dan Geosains serta lain-lain.
“Kajian ini sebagai satu langkah tambahan bagi memastikan kesiapsiagaan MBJB dalam menghadapi sebarang kejadian membaca sekaligus mengurangkan risiko kecederaan, kerosakan harta serta kehilangan nyawa penduduk bandar raya ini,” jelasnya.
Pada 24 Ogos lalu, satu gempa bumi berukuran 4.1 magnitud telah dilaporkan berlaku di Segamat, sebelum beberapa kali gempa susulan dilaporkan berlaku melibatkan kawasan lain di daerah itu, serta di Batu Pahat.
Gempa bumi yang terakhir dilaporkan berlaku di negeri ini adalah pada Sabtu lalu di Batu Pahat dengan bacaan 3.5 magnitud. – UTUSAN










