KUALA NERUS: Kejayaan memastikan semua aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan dengan selamat selepas ditahan rejim Zionis Israel, membuktikan keprihatinan dan peranan aktif kerajaan dalam melindungi keselamatan rakyat Malaysia di luar negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah tersebut selaras dengan tanggungjawab universal setiap negara berdaulat terhadap warganegara masing-masing.
“Sebenarnya menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk mengambil tindakan apabila rakyat mereka ditahan di mana-mana tempat, bukan hanya di Israel tetapi juga di mana-mana negara lain di seluruh dunia,” katanya selepas melancarkan Pusat Cari Kerja Terengganu dan Karnival Kesejahteraan Pekerjaan dan Keusahawanan Terengganu 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pembebasan aktivis misi SGD termasuk 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel minggu lalu selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa.
Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas peranan yang dimainkan bagi memastikan pembebasan kesemua aktivis berkenaan.
“Kita ucap terima kasih kepada kerajaan yang telah menjalankan tanggungjawab ini dengan baik dan kita doakan semua mereka yang terlibat selamat pulang ke tanah air pada Isnin dan Selasa ini,” katanya. – UTUSAN










