MB sedia beri kerjasama kes hina Raja Perlis - Utusan Malaysia

MB sedia beri kerjasama kes hina Raja Perlis

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan mengambil siasatan kes isu penularan audio mirip Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang didakwa berunsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, Kontinjen Perlis akan membantu Bukit Aman berhubung kes berkenaan.

“Kita hanya akan membantu pihak Bukit Aman bagi melengkapkan siasatan kes,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Terdahulu, Setiausaha Pemuda UMNO negeri, Ahmad Nazrin Abdul Aziz berkata, penularan rakaman berkenaan menyentuh perbincangan berkaitan urusan pelantikan ketua jabatan dan penjawat awam di negeri ini serta beberapa perbincangan lain yang sepatutnya sulit.

Satu laporan polis telah dibuat Pemuda UMNO Arau berkaitan rakaman suara didakwa mirip Menteri Besar.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, kenyataan yang dikeluarkan menerusi rakaman tersebut dipercayai mengandungi unsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis.

“Kandungan rakaman itu telah disebarkan secara terbuka menerusi beberapa platform media sosial dan mengandungi maklumat yang tidak benar serta boleh menjejaskan maruah, reputasi dan Institusi Diraja Negeri Perlis,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shukri ketika diminta mengulas berkata, beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung penularan audio tersebut, kerana perlu meneliti kandungannya terlebih dahulu.

Katanya, beliau masih meneruskan pentadbiran seperti biasa dan menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

“Saya pun tidak pasti (penularan audio tersebut), saya kena tunggu dan kaji dulu lah, kalau saya buat komen la (sekarang), takut tidak kena, nanti viral (tular) pula lagi.

“Dan saya juga bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya sekiranya dipanggil selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN