KOTA BHARU: Mayat seorang lelaki yang dipercayai warga asing dijumpai dalam keadaan reput dengan dibaluti selimut di tepi Sungai Kelantan, dekat belakang Masjid Jamek Muhammadi, di sini semalam.
Lelaki yang disyaki meninggal dunia dalam anggaran tempoh lima hingga tujuh hari itu ditemukan orang awam di kawasan tersebut kira-kira pukul 10.20 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, mangsa yang belum dapat dikenal pasti kewarganegaraannya itu memakai seluar paras lutut berwarna biru dan keadaannya sudah mereput.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini dan hasil bedah mendapati tiada suntikan bacillus calmette guerin (BCG).
“Punca kematian tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat yang telah mereput dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN










