GEORGE TOWN: Polis telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan ejen insurans yang mayatnya dijumpai disumbat dalam beg pakaian berhampiran Pangsapuri Ampang Jajar, Butterworth pada 9 Oktober lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tiga individu berkenaan terdiri daripada individu yang menemukan kenderaan mangsa, yang menjumpai mayat serta seorang ahli keluarga mangsa.
Menurut beliau, siasatan masih dijalankan secara menyeluruh dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan dipanggil bagi membantu siasatan.
“Dari segi siasatan, kita sedang giat menjalankannya. Setakat ini, kita telah ambil keterangan tiga individu dan dalam masa sama, usaha mengesan suspek yang terlibat sedang dipergiatkan.
“Kemungkinan suspek dapat dikenal pasti dan ditahan dalam masa terdekat,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Pulau Pinang dan pelancaran ‘2nd Bridge Polis Diraja Malaysia (PDRM) Solidarity Fun Ride 2026’ di sini, hari ini.
Sebelum ini, polis mengesahkan mangsa lelaki berusia 31 tahun yang ditemukan dalam beg pakaian dengan kesan kelar di lehernya itu disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas.
Mangsa dikenali sebagai Lee Boon Han, ejen insurans yang dilaporkan hilang sebelum ini dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibungkus dan dimasukkan ke dalam beg pakaian lalu dibuang di belakang flat berkenaan. – UTUSAN