PETALING JAYA: Polis mengesahkan penemuan mayat individu berpakaian seperti pengawal keselamatan tersangkut di batu bersama longgokan sampah di Sungai Klang berhampiran USJ 1, Subang Jaya dekat sini semalam.
Penemuan mayat itu disedari seorang lelaki tempatan kira-kira pukul 11.15 pagi ketika membuat tinjauan di kawasan projek sebelum memulakan kerja.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pengadu ternampak satu mayat dalam keadaan terlentang di seberang sungai sebelum menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk memaklumkan kepada pihak polis.
“Mayat tersebut berpakaian lengkap dengan baju T-shirt berkolar berwarna hitam bertulis Security serta seluar panjang hitam dan dianggarkan mempunyai ketinggian sekitar 160 sentimeter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat berkenaan dibawa ke tebing sungai dengan bantuan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat SS17 Subang Jaya.
“Mayat terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh pada pukul 2.45 petang.
“Identiti si mati masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama,” jelasnya.
Katanya, pemeriksaan awal oleh pegawai forensik mendapati mayat sudah dalam keadaan mereput dan punca kematian belum dapat dipastikan.
“Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat,” ujarnya.
Wan Azlan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 0378627100 atau Ketua Polis Balai USJ8 di talian 0196558707.
“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – UTUSAN