Pastikan jalan raya luar bandar diselenggara

Pastikan jalan raya luar bandar diselenggara

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) merasmikan pelancaran Jalan Dan Jambatan Dari Kampung Labu Melalui Kampung Batu Balak, Jerantut Ke Kampung Gemunchur Dan Kampung Mela, Kuala Lipis di Tapak Projek, Cheka, Lipis Pahang, semalam. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) kekal menjadi mekanisme utama penyelenggaraan jalan luar bandar di bawah tanggungjawab kerajaan negeri selepas siap dibina oleh kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu melambangkan keutuhan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan jalan luar bandar diselenggara dengan baik serta memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat.

“Jalan ini bukan sekadar sambungan fizikal, tetapi nadi kehidupan yang mempercepat nadi ekonomi dan mendekatkan hati rakyat dengan kerajaan,” katanya selepas merasmikan Projek Jalan dan Jambatan Kampung Labu Melalui Kampung Batu Balak, Jerantut Ke Kampung Gemunchur Dan Kampung Mela di Kuala Lipis, di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, setiap kilometer jalan yang dibina mencerminkan kasih sayang kerajaan kepada rakyat, memastikan tiada satu pun kampung dibiarkan terpinggir daripada arus pembangunan negara.

“Jalan raya bukan hanya batu, pasir dan tar, ia lorong harapan yang dilalui setiap hari oleh petani, anak ke sekolah dan ibu bapa ke tempat kerja. Ia saksi perjuangan masyarakat desa yang mahu maju seiring pembangunan negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, projek jalan sepanjang 17.5 kilometer bernilai RM157 juta itu bukan sahaja menghubungkan kawasan pedalaman, tetapi mengubah kehidupan masyarakat apabila tempoh perjalanan dipendekkan daripada satu jam kepada 15 minit

Katanya, kejayaan projek itu mencerminkan kecekapan dan integriti pelaksanaannya apabila berjaya disiapkan lebih awal dengan penjimatan RM4 juta daripada kos asal yang diluluskan sebanyak RM161 juta.

“Projek ini siap mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan penggunaan tenaga hijau, sifar kemalangan dan penyerahan dalam tempoh tiga bulan selepas CPC. Ini bukti kecekapan dan integriti semua pihak,” katanya.

Menurut beliau, jalan tersebut diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk diselenggara melalui MARRIS sekali gus jadi simbol kepercayaan dan kesinambungan tanggungjawab antara kerajaan Persekutuan serta negeri.

Katanya, kejayaan kerajaan bukan sekadar mengejar Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tetapi adalah kesejahteraan masyarakat di akar umbi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN