Malaysia serah Pengerusi ASEAN kepada Filipina

Malaysia serah Pengerusi ASEAN kepada Filipina

ANWAR Ibrahim ketika Majlis Penyerahan Tugas sebagai Pengerusi ASEAN Ke-48 kepada Ferdinand Marcos Jr pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menyerahkan tugas sebagai Pengerusi ASEAN kepada Filipina, sekali gus mendakan penutupan tirai penganjuran Sidang kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang berkaitan tahun ini.

Upacara simbolik penyerahan tukul yang menjadi simbolik acara itu dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.

Anwar berkata, Kepengerusian ASEAN tahun ini membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas antara negara anggota dan kuasa luar untuk menyelesaikan isu serta konflik yang dihadapi rantau ini.

Katanya, ASEAN berjaya menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu serta membuktikan bahawa misinya tetap berkesan apabila dipandu oleh kesabaran dan kewarasan.

“Pada hari pertama 2026, ASEAN akan memulakan satu bab baharu. Maka pada petang ini, menjadi suatu penghormatan bagi saya untuk menandakan peralihan itu secara rasmi dan menyerahkan tugas Pengerusi ASEAN kepada Filipina.

“Kepada sahabat saya, Presiden Ferdinand Marcos Jr., ketika anda memikul tanggungjawab ini, saya yakin bahawa di bawah pimpinan anda, ASEAN akan terus bertindak dengan jelas dan berwibawa serta mampu menjadi kebanggaan rakyat Filipina,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Anwar berkata, kejayaan ASEAN bukan bergantung kepada satu generasi atau kepimpinan semata-mata, sebaliknya hasil daripada ketabahan dan keazaman semua pihak yang enggan berputus asa dalam menghadapi cabaran.

“Apa yang penting ialah setiap tindakan berani dan setiap langkah kecil mampu mendekatkan rantau kita kepada harapan dan keadilan,” katanya.

Filipina akan menggalas tugas sebagai Pengerusi baharu untuk sesi yang akan bermula 1 Januari 2026.

Ini kali keenam Filipina memikul tugas sebagai Pengerusi ASEAN selepas 1976, 1987, 1999, 2007 dan 2017.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN