PUTRAJAYA: Malaysia dan Pakistan sependapat bahawa dunia Islam perlu mengambil tindakan konkrit dan bersatu dalam menghentikan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin di Gaza yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan, penderitaan rakyat Palestin yang berlarutan sejak sekian lama menuntut komitmen nyata masyarakat antarabangsa, bukan sekadar kenyataan simpati semata-mata.
“Saya amat menghargai usaha dan kenyataan terkini Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, khususnya dalam isu Palestin dan Gaza.
“Bersama-sama kita menegaskan bahawa mesti ada tindakan yang konkrit untuk menamatkan penderitaan berjuta-juta penduduk Gaza dan Palestin,” katanya dalam sidang akhbar bersama di Kompleks Perdana Putra, di di sini hari ini.
Anwar berkata, Malaysia menyokong inisiatif damai 20 perkara yang dicadangkan Presiden Donald Trump, walaupun kerajaan mempunyai beberapa keraguan terhadap sebahagian isi cadangan itu.
Namun, katanya, penghentian segera serangan dan pembunuhan oleh rejim Zionis perlu menjadi keputusan bersama dunia Arab dan negara Islam.
“Sekurang-kurangnya apabila pengeboman dan pembunuhan dihentikan oleh rejim Zionis di Gaza, itu satu keputusan yang mesti dibuat secara kolektif oleh negara-negara Arab dan Islam,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan negara di dunia termasuk dengan sokongan dan komitmen Amerika Syarikat diyakini akan dapat membantu merealisasikan keamanan yang diidamkan rakyat Palestin.
“Pada masa sama, akses kemanusiaan amat penting. Saya tidak dapat membayangkan, seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Pakistan, bahawa pada tahun 2025, selepas begitu banyak penderitaan masih ada wanita dan bayi yang ditembak serta dibunuh. Ia amat mengejutkan bagi saya,” ujarnya.
Anwar menegaskan, Malaysia dan Pakistan berada di pihak yang benar dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan untuk rakyat Palestin yang tertindas.
“Insya-Allah, pendirian bersatu kita dalam menyokong inisiatif damai ini mungkin dapat membantu merealisasikan aspirasi untuk keamanan yang berkekalan,” katanya.
Lawatan rasmi Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia tiga hari ini turut menyaksikan kedua-dua negara menandatangani enam Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, pendidikan tinggi, pelancongan, halal, usaha memerangi rasuah serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana. – UTUSAN










