IPOH: Kemasukan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di negara ini tidak menjejaskan kemasukan calon-calon tempatan ke universiti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini menempatkan kira-kira 170,000 pelajar antarabangsa menjadikannya sebagai destinasi utama pendidikan tinggi di ASEAN.
“Di ASEAN kita nombor satu yang memiliki jumlah pelajar luar negara paling ramai. Ini menunjukkan imej dan mutu pendidikan kita dihargai,” katanya ketika berucap pada program Seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Cemerlang, Saya Pelajar Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yuk Choy, di sini hari ini.
Menurut Anwar, walaupun kehadiran pelajar antarabangsa penting terutama bagi universiti swasta, ia sama sekali tidak menjejaskan peluang anak-anak tempatan yang merekodkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa sektor pendidikan terus menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026 berikutan kedudukannya yang penting bagi masa depan negara.
“Kita bersyukur negara ini aman. Sebab itu peruntukan terbesar dalam belanjawan diberikan kepada pendidikan kerana masa depan kita bergantung pada bagaimana anak-anak dilatih, diasah kemahiran dan diberi peluang mencapai kecemerlangan,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 1,500 pelajar Tingkatan Lima dari sekolah-sekolah sekitar Tambun dan daerah berhampiran menyertai seminar berkenaan. – UTUSAN