MALAYSIA merekodkan lebihan akaun semasa imbangan pembayaran sebanyak RM34.3 bilion atau 1.7 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada separuh pertama 2025, menurut Tinjauan Ekonomi 2026.
Jelasnya, unjuran itu disokong oleh aliran masuk bersih lebih tinggi dalam akaun barangan serta defisit yang semakin mengecil dalam akaun perkhidmatan dan pendapatan.
“Bagi separuh pertama 2025, lebihan akaun semasa berjumlah RM17 bilion (1.8 peratus daripada PNK) dengan momentum dijangka berterusan pada separuh kedua tahun ini untuk mencapai RM17.3 bilion (1.7 peratus daripada PNK).
“Akaun barangan dijangka terus menjadi penyumbang utama, walaupun lebihan diunjur mengecil kepada RM112.5 bilion pada 2025.
“Keadaan ini berpunca daripada peningkatan import barangan modal serta kenaikan marginal import barangan penggunaan, biarpun diimbangi oleh penyusutan import barangan perantaraan.
“Import yang lebih tinggi sebahagian besarnya didorong oleh pelaburan berterusan dalam sektor perindustrian dan infrastruktur. Dalam masa sama, peningkatan eksport barangan pembuatan dan pertanian dijangka membantu mengimbangi kesan import lebih tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, akaun perkhidmatan dianggarkan mencatat defisit lebih kecil sebanyak RM7.6 bilion, disokong oleh prestasi kukuh akaun perjalanan yang menampung defisit dalam akaun pengangkutan serta perkhidmatan lain.
“Akaun perjalanan dijangka merekodkan lebihan RM48.7 bilion, dipacu oleh pelbagai inisiatif kerajaan mempromosi pelancongan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Peningkatan ketibaan pelancong dijangka merangsang industri penerbangan dengan kekerapan dan laluan penerbangan baharu, selain menjana pendapatan tambahan kepada syarikat pengangkutan domestik melalui fi lapangan terbang dan pelabuhan.
“Bagaimanapun, akaun pengangkutan dijangka merekodkan defisit lebih besar sebanyak RM31.5 bilion berikutan kebergantungan berterusan terhadap penyedia pengangkutan asing.
“Defisit lebih tinggi turut dijangka dalam akaun perkhidmatan lain, dengan aliran keluar bersih dianggarkan RM24.8 bilion, berpunca daripada peningkatan bayaran bagi perkhidmatan pembuatan, telekomunikasi dan maklumat, penggunaan harta intelek serta perkhidmatan perniagaan lain,” ujarnya.
Sementara itu, akaun pendapatan primer turut dijangka merekodkan aliran keluar bersih lebih rendah sebanyak RM55.7 bilion pada 2025, disokong oleh defisit kecil dalam pendapatan pelaburan dan pampasan pekerja.
“Aliran keluar bersih dalam pendapatan pelaburan diunjur berkurang kepada RM45.9 bilion, dipengaruhi oleh penghantaran balik keuntungan dan dividen lebih rendah oleh pelabur asing di Malaysia.
“Defisit pampasan pekerja pula dijangka mengecil kepada RM9.8 bilion berikutan bayaran lebih rendah kepada profesional bukan pemastautin.
“Sebaliknya, akaun pendapatan sekunder dijangka merekodkan aliran keluar bersih lebih tinggi sebanyak RM14.9 bilion, selaras peningkatan kiriman wang keluar oleh pekerja dan entiti bukan residen yang dijangka mencecah RM51.4 bilion selepas pelaksanaan gaji minimum baharu dalam Belanjawan 2025.
“Terimaan daripada rakyat Malaysia di luar negara pula diunjur menurun kepada RM36.5 bilion,” katanya. – UTUSAN










